Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) beramah mesra bersama pelajar yang hadir pada Majlis Peluncuran Modul Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI di Dewan Seri Siantan Perbadanan Putrajaya pada 5 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Modul latihan kenegaraan ajak anak muda kenali sejarah, bersama bina kekuatan

PUTRAJAYA, 5 JUN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Modul Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI yang diperkenal hari ini memberi peluang kepada golongan muda mengenali sejarah negara sekali gus menghargai jasa pemimpin dan pejuang terdahulu.

Beliau berkata modul itu adalah berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan ia diperkemas mengikut peredaran masa khususnya dalam aspek pendigitalan.

“Kita dalam modul ini harus tegak kenal sejarah negara kita bahawa negara merdeka dan berdaulat kerana sumbangan semua pihak.

“Melayu sebagai tunjangnya dengan semangat kebangsaan dan kemerdekaan dan penyertaan semua kaum… Cina, India, Dayak, Iban, Melanau dan semua suku,” katanya ketika berucap meluncurkan modul itu di sini hari ini.

Anwar berkata anak muda juga perlu menyusuri sumbangan pemimpin lama kerana kekuatan yang mereka ada sebelum ini boleh digunakan untuk mengangkat lagi martabat negara.

“Kita hargai sumbangan pemimpin, pejuang kemerdekaan terdahulu, dari semua negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak kerana mereka mempunyai jasa.

“…tetapi menghargai sumbangan lama tidak semestinya mengikat kita di keadaan berbeda… timba kekuatan mereka tetapi secara dinamik memperbaiki dan mengangkat martabat negara,” katanya.

Anwar turut menyeru anak muda agar merebut peluang baharu yang ada bagi membolehkan Malaysia diangkat sebagai negara hebat di mata dunia selaras dengan dasar yang dicerakin kerajaan ketika ini.

“Malaysia adalah negara dagang, memerlukan kekuatan induk tetapi memerlukan keyakinan luar. Kalau dahulu kita dikenali dengan industri pembuatan, sekarang dengan teknologi maklumat, digital dan kecerdasan buatan (AI), pusat data dan semikonduktor.

“Jadi anak muda harus rebut peluang, kita hadapi realiti baharu, cabaran baharu yang memerlukan kita mengambil langkah baharu dengan semangat baharu,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata Akademi Kenegaraan Malaysia diasaskan untuk membina kekuatan baharu anak muda dengan peribadi unggul sekali gus membina bibit kecintaan kepada negara.

“Dalam tradisi latihan dan modul ini, (ia) harus mencabar dan mengasak supaya kita berfikir berdasarkan nilai antara baik dan buruk, makruf dan mungkar serta hak dan batil,” katanya.

Akademi Kenegaraan Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan modul baharu itu adalah berpaksikan Sejarah Kenegaraan, pemahaman terhadap Perlembagaan Persekutuan dan penghayatan Rukun Negara.

Menurut kenyataan itu, kaedah pelaksanaan modul yang telah diperkenal menggabungkan kaedah konvensional dan pendigitalan supaya menarik minat pelbagai pihak khususnya golongan muda.

— BERNAMA


Pengarang :