Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Terperdaya kerja sambilan tidak wujud, ejen insurans rugi lebih RM280,000

MUAR, 5 JUN: Seorang ejen insurans kerugian RM283,225 selepas terperdaya dengan sindiket yang menawarkan kerja sambilan tidak wujud menerusi aplikasi telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata mangsa merupakan wanita berusia 42 tahun telah berhubung dengan seorang lelaki yang mengendalikan aplikasi berkenaan pada awal Mei lepas.

Beliau berkata suspek telah menjanjikan kerja sambilan yang mampu memperoleh keuntungan berlipat kali ganda dan meminta mangsa membuka akaun menerusi aplikasi itu untuk menyertai kerja sambilan terbabit.

“Mangsa kemudian diminta membuat tangkap layar sebagai bukti kerja sambilan telah dilakukan, namun bagi mengeluarkan keuntungan kerja sambilan itu mangsa perlu membuat bayaran terlebih dahulu.

“Mangsa telah membuat beberapa transaksi (bayaran) bermula 15 hingga 26 Mei lepas dengan jumlah RM283,225 ke dalam akaun yang didaftarkan atas nama dua syarikat yang berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Raiz Mukhliz mangsa kemudiannya diminta untuk membuat pembayaran lagi namun enggan mengikut arahan itu kerana masih belum menerima sebarang keuntungan, lalu membuat laporan polis.

Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

– BERNAMA


Pengarang :