Petugas Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) melaksanakan kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) pada 5 Jun 2024. Foto Facebook Air Selangor
AGENDANASIONAL

Kerja ganti injap siap jam 7 malam, loji beroperasi sepenuhnya

SHAH ALAM, 5 JUN: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) beroperasi sepenuhnya selepas kerja penyenggaraan dan penggantian aset siap dilaksana pada 7 malam tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjangka pengguna akan menerima bekalan air secara berperingkat mulai 3 pagi, 6 Jun setelah sistem agihan utama bekalan air distabilkan.

“Berikutan kerja penyenggaraan dan penggantian aset di LRA SSP1 antaranya penggantian injap bersaiz 1450mm, yang telah siap dilaksanakan pada 7.00 malam tadi, LRA SSP1 kini telah beroperasi sepenuhnya,” maklumnya di Facebook.

Menurut syarikat itu, peratusan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas akan mencapai sekitar 20 peratus jam 3 petang esok, diikuti 90 peratus jam 3 pagi pada 7 Jun.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/ selain Facebook, Instagram dan X.

Syarikat itu juga boleh dihubungi di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.


Pengarang :