Yob Ahmad dikurniakan cahaya mata perempuan pada 31 Mei 2024 ketika usianya 80 tahun. Foto Tiktok @ummimakhapakyob
AGENDANASIONAL

Datuk tujuh cucu dikurniakan cahaya mata pada usia 80 tahun

KEPALA BATAS, 6 JUN: Pesara Felda tidak menyangka dalam usianya 80 tahun dia dikurniakan cahaya mata perempuan pada 31 Mei lalu hasil perkahwinan dengan Zaleha Zainul Abidin, 42.

Yob Ahmad berkata kelahiran bayi diberi nama Nur itu dianggap rezeki dan kuasa Allah SWT.

“Memang tak sangka dapat anak dalam usia begini. Lahirnya anak saya pun atas kurniaan dan kehendakNya. Allah SWT yang berkuasa,” katanya.

Yob berkata dia tidak terlalu memikirkan soal anak apatah lagi usianya sudah lanjut malah sudah mempunyai empat anak hasil perkahwinan terdahulu.

Yob yang berkahwin dengan Zaleha sejak 10 tahun lalu hanya berserah kepada Allah SWT.

“Kita hanya mampu usaha, selebihnya kehendak Dia, kehendakNya kita tak ada daya nak halang.

“Tapi bila Allah SWT izinkan isteri mengandung sampai dapat anak, saya bersyukur serta anggap rezeki.

“Saya harap anak membesar dengan sihat jadi insan solehah,” katanya lapor Harian Metro.

Berkongsi rahsianya kekal sihat, datuk tujuh cucu itu berkata, dia jarang bersenam namun mengamalkan pengambilan herba selain berzikir.

Sementara itu Zaleha berkata, dia tidak terlalu mengharap kerana sedar faktor umur mungkin menjadi halangan untuk mendapatkan zuriat.

“Saya pernah hamil lima tahun lalu tetapi tak ada rezeki selepas keguguran. Tapi bila dapat tahu hamil lagi waktu kandungan hampir tiga bulan, memang terkejut dan macam tak percaya kerana ingatkan sudah menopaus.

“Dalam erti kata lain, saya ingatkan tak boleh mengandung lagi tapi ini yang dinamakan rezeki, syukur sangat malah anak saya dan suami yang sudah besar pun teruja kerana sudah lama tak dapat adik,” katanya.

Zaleha yang memiliki tiga anak berumur 12, 14 dan 16 tahun hasil perkahwinan terdahulu kini masih berada di Hospital Kepala Batas.


Pengarang :