SABAK BERNAM, 7 JUN: Lebih 90 peratus daripada 16,800 pelajar kurang berkemampuan di negeri ini menerima bantuan persekolahan daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sejak Mac.
Sumbangan bernilai RM100 setiap seorang menerusi Program Kembali Ke Sekolah membantu meringankan beban mereka yang memerlukan, kata ketua tanggungjawab sosial dan komunikasi korporatnya.
“Hanya tinggal satu atau dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang belum serahkan (bantuan) kepada penerima. Kita jangka agihan selesai dalam masa terdekat,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.
Ditemui pada majlis serahan bantuan kepada 300 pelajar DUN Sabak hari ini, beliau berkata senarai penerima dikenal pasti pejabat DUN dan dinilai MBI untuk memastikan hanya yang layak menerimanya.
“(Agihan) merupakan peruntukan tahun ini, namun serahan hanya dapat dilakukan hari ini. Semoga bantuan dapat mengurangkan beban ibu bapa,” jelasnya.
Tahun ini, MBI membelanjakan sejumlah RM1.7 juta untuk membantu 16,800 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan membeli keperluan sekolah.
Sepanjang tahun lalu, anak syarikat negeri itu memperuntuk lebih RM10 juta bagi memperkasa sektor pendidikan merangkumi Program Tuisyen Rakyat Selangor, bantuan sekolah dan sumbangan prasarana.