Kerja penggantian injap di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) selesai dilaksanakan pada jam 7 malam, 5 Jun 2024. Foto Facebook Air Selangor
AGENDANASIONAL

Bekalan air pulih 27.1 peratus setakat 12 tengah hari

SHAH ALAM, 6 JUN: Status pemulihan bekalan air di kawasan terlibat kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) mencapai 27.1 peratus setakat  12 tengah hari tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan tempoh pemulihan berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air sistem agihan bekalan air.

Menurut agensi itu, bekalan air di wilayah terjejas dalam kategori kumpulan 1 melibatkan beberapa kawasan di Petaling, Gombak, Klang dan Kuala Lumpur pulih sepenuhnya jam 12 tengah hari tadi.

“Manakala bagi kategori kumpulan 2 membabitkan sebahagian kawasan di wilayah Petaling, Gombak, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor dijangka pulih sepenuhnya 3 pagi esok.

“Bagi kumpulan 3 melibatkan beberapa kawasan di wilayah Petaling, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Lumpur dan Klang dijangka pulih sepenuhnya jam 12 tengah hari esok,” katanya di Facebook.

Air Selangor menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

Selain itu pengguna yang telah mendapat bekalan air diharap menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/ selain Facebook, Instagram dan X.

Syarikat itu juga boleh dihubungi di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.

LRA SSP1 beroperasi sepenuhnya selepas kerja penyenggaraan dan penggantian aset siap dilaksana pada 7 malam semalam.


Pengarang :