Ketua Operasi Agihan Zakat Selangor Daerah Petaling, Mohammad Sharil Ritin menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran Suhaidi Hamzah, 62 disaksikan EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan, Najwan Halimi ketika menziarahi mangsa kebakaran di Bandar Nusa Rhu, Shah Alam pada 6 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Mangsa kebakaran terharu terima sumbangan Kerajaan Negeri, ringan beban mangsa

SHAH ALAM, 6 JUN: Kerajaan Negeri menghulurkan sumbangan wang tunai kepada keluarga mangsa kebakaran di Bandar Nusa Rhu di sini, hari ini.

EXCO Belia Najwan Halimi berkata sumbangan tersebut diserahkan bagi meringankan beban mangsa susulan kemusnahan hampir 80 peratus kediaman tersebut.

“Keadaan yang agak teruk di kawasan rumah mangsa. Dipercayai berpunca daripada kebakaran kereta dan kemudiannya merebak ke rumah.

“Syukur kerana kejadian ini tidak melibatkan kehilangan nyawa. Bagi pihak Kerajaan Negeri kami ingin ucapkan takziah dan kami serahkan sedikit sumbangan untuk ringankan beban,” katanya yang juga wakil rakyat Kota Anggerik.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan, Najwan Halimi meninjau keadaan rumah mangsa kebakaran Suhaidi Hamzah, 62 ketika menziarahi mangsa kebakaran di Bandar Nusa Rhu, Shah Alam pada 6 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu Najwan menyampaikan bantuan berkenaan di Bandar Nusa Rhu, di sini. Turut hadir Ketua Operasi Agihan Lembaga Zakat Selangor (LZS) Daerah Petaling Mohammad Sharil Ritin.

LZS turut menghulurkan sumbangan awal RM300 bagi membantu meringankan beban mangsa sebelum disusuli bantuan lain daripada agensi berkenaan.

Dalam pada itu, mangsa, Suhaidi Hamzah, 62, mengakui keluarganya masih terkejut dengan kejadian yang berlaku pada 12.25 tengah malam pada 4 Jun lalu.

Menurutnya ketika kejadian beliau bersama isteri, ibu mentua, empat anak, menantu dan seorang cucu tidur sebelum dikejutkan anaknya yang terbangun melihat api di kenderaan yang diletakkan dalam garaj.

“Saya sangat terharu dengan bantuan yang diserahkan. Saya sangat berterima kasih, ini dapat membantu kami sekeluarga,” katanya yang kini tinggal di kediaman keduanya di Jeram, Kuala Selangor.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan, Najwan Halimi melawat rumah mangsa kebakaran Suhaidi Hamzah, 62 (tengah) di Bandar Nusa Rhu, Shah Alam pada 6 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :