Kumpulan pertama seramai 282 orang jemaah haji Malaysia, selamat tiba di Mekah selepas enam hari berada di Madinah pada 14 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dua lagi kematian baharu jemaah haji Malaysia, jumlah keseluruhan empat setakat ini

Daripada Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail

MAKKAH, 7 JUN: Dua lagi kematian baharu dalam kalangan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci berlaku pada Isnin dan Selasa lepas, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini empat orang.

Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H/2024 Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata kematian ketiga melibatkan seorang jemaah lelaki Ghazali Ahmad, 71, dari Alor Setar, Kedah yang meninggal dunia disebabkan kegagalan buah pinggang dan pembuluh darah di perut yang tersumbat.

“Manakala jemaah keempat yang meninggal dunia ialah Normadiah Mat Ali, 53, dari Jertih, Terengganu disebabkan kegagalan fungsi organ ekoran jangkitan kuman pada paru-paru,” katanya kepada petugas media dalam sidang media mingguan di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH), di sini hari ini.

Syed Saleh berkata kedua-dua Allahyarham sebelum itu telah menerima rawatan selama beberapa hari di Pusat Rawatan TH di Makkah, sebelum dihantar ke hospital Arab Saudi, namun meninggal dunia semasa mendapat rawaran.

Jenazah kedua-dua jemaah itu kemudian disembahyangkan di Masjidil Haram sebelum dikebumikan di Tanah Perkhuburan Syuhada Al-Haram dan Tanah Perkhuburan Syaraiee di sini.

Syed Saleh turut merakamkan ucapan takziah kepada waris jemaah dan mendoakan agar segala amal ibadah mereka diberi ganjaran yang setimpal.

Beliau berkata TH akan menguruskan serta menanggung kos badal haji untuk kesemua jemaah menggunakan Tabung Kebajikan Jemaah Haji Malaysia.

Sementara itu setakat semalam, Syed Saleh berkata seramai 52 jemaah haji Malaysia sedang menerima rawatan disebabkan pelbagai penyakit iaitu iaitu 43 orang di Pusat Rawatan TH di Makkah, manakala sembilan lagi hospital Arab Saudi.

“Mereka dimasukkan ke Pusat Rawatan TH dan Hospital Arab Saudi disebabkan oleh masalah berkaitan pernafasan seperti jangkitan kuman paru-paru dan lain-lain penyakit seperti masalah jantung, gangguan emosi yang memerlukan perhatian psikiatri dan sakit otot dan sendi,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun kesemua jemaah berkenaan dilaporkan berada dalam keadaaan stabil dan sedang menerima rawatan sebaiknya.

Justeru Syed Saleh turut menasihati semua jemaah haji supaya menjaga kesihatan masing-masing menjelang lapan hari berbaki sebelum hari Wukuf, untuk mengelak sebarang risiko kesihatan termasuk strok haba berikutan suhu boleh mencecah sehingga 50 darjah celcius terutama di Masyair nanti.

“Seperti sedia maklum sejak dari awal operasi sejak Mei hingga sekarang, di Makkah dan Madinah sedang meningkat dengan mencapai suhu maksimum sehingga 47 darjah celcius di Makkah.

“Ini menandakan permulaan musim panas di Arab Saudi dan ia juga bermaksud cuaca serta suhu akan terus meningkat untuk berapa bulan akan datang termasuk di Masyair nanti yang dijangka akan mencecah sehingga 50 celcius,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :