Orang ramai mula memenuhi kedai emas untuk membeli barang kemas sebagai aksesori menjelang Aidilfitri ketika tinjauan di Kompleks PKNS. Foto Facebook Bernama TV
AGENDAJENAYAH

Pekerja kedai emas disyaki pecah amanah libat kerugian RM700,000

KUALA TERENGGANU, 7 JUN: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan kes pecah amanah membabitkan seorang pekerja kedai emas, di daerah Kuala Terengganu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata pemilik kedai iaitu wanita berusia 37 tahun, mendakwa mengalami kerugian RM700,000 selepas pekerjanya dipercayai menipu dalam urusan tempahan dan melebur emas pelanggan.

Beliau berkata mangsa ketika berada di kedainya pada 10 pagi 2 Februari lalu telah membuat semakan dan mendapati berlaku transaksi, yang suspek wanita berusia 28 tahun mengambil tempahan emas daripada pelanggan untuk dilebur dan dikenakan bayaran, tetapi tidak direkod dalam buku daftar.

“Mangsa juga mendapati berat emas yang dicatat dalam buku daftar, berbeza dengan berat sebenar secara berperingkat menyebabkannya mengalami kerugian dalam tempoh lama.

“Semakan dibuat pengadu selepas ada pelanggan yang menghantar barangan kemas ke kedainya, membuat laporan polis kerana belum mendapat barang kemas yang ditempah sehingga kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairi berkata pihaknya terpaksa mengambil masa untuk mengumpul bukti, sebelum dapat membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :