AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

SABDA ubah landskap Sabak Bernam, pacu ekonomi setempat

SABAK BERNAM, 7 JUN: Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) yang terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bakal mengubah landskap daerah.

Ketua tanggungjawab sosial korporat dan komunikasi korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata SABDA melibatkan sektor perikanan, pertanian dan pelancongan akan memberi tempias kepada ekonomi selain demografi penduduk.

“SABDA akan merubah daerah ini. Mengikut jabatan statistik, Sabak merupakan kawasan paling tua. Bukan tua usia tetapi dihuni warga emas.

“Dengan adanya pembangunan SABDA, kawasan ini mencipta peluang kerjaya dan ekonomi sekali gus menarik kedatangan generasi muda,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau berucap pada program serahan bantuan Kembali Ke Sekolah kepada penerima Dewan Undangan Negeri Sabak hari ini.

Pembangunan SABDA bakal melibatkan sektor awam dan swasta berjumlah RM1.9 bilion yang boleh menjana hasil tahunan sebanyak RM246 juta setahun selain membekalkan 4,000 peluang pekerjaan.

Ia melibatkan lima kluster iaitu menambah komoditi bernilai tinggi, khidmat sokongan, membangun industri hiliran dan asas tani, meningkatkan sektor pelancongan serta merancakkan pembangunan infrastruktur.

 


Pengarang :