KLANG, 10 JUN: Kerajaan Negeri menghulurkan tajaan RM1 juta untuk pertandingan bola sepak Piala Sultan Selangor (TSSC) yang dijadual berlangsung pada 17 Ogos depan di Stadium Merdeka.
Penyerahan cek cura kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj disampaikan Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin di Istana Alam Shah di sini hari ini.
Pada majlis itu, penganjur TSSC turut menerima tajaan daripada tujuh anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berjumlah RM200,000.
Permodalan Negeri Selangor Berhad, Worldwide Holdings Berhad dan KDEB Waste Management masing-masing menyumbang RM100,000.
Manakala Kumpulan Semesta Sdn Bhd, Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Syarikat Koridor Utiliti Selangor masing-masing menaja RM50,000.
Turut berkenan berangkat ke majlis itu adalah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Hadir sama Pengerusi dan Pengurus Pasukan TSSC Tan Sri Abd Karim Munisar; EXCO Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi; EXCO Perumahan dan Kebudayaan Borhan Aman Shah dan EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Datuk Rizam Ismail.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/sultan-500x333.jpg.webp)
Sementara itu, Abdul Karim ketika menyampaikan sembah ucapan turut mengucapkan terima kasih kepada semua penaja TSSC 2024.
“Sungguhpun keadaan ekonomi lebih baik berbanding ketika pandemik Covid-19 namun kelembapan ekonomi masih terasa dan usaha untuk merancakkan TSSC 2024 agak mencabar. Keadaan ini menyebabkan beberapa syarikat korporat terpaksa menarik diri sebagai penaja.
“Oleh itu, patik merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan semua penaja kejohanan kali ini,” katanya yang mengajak orang ramai membeli tiket serendah RM10 yang dijual sebulan sebelum tarikh perlawanan.
Untuk rekod, pasukan Pilihan Selangor pernah meraih gelaran sebanyak sembilan kali iaitu pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018 dan 2019.
Pilihan Singapura pula pernah meraih gelaran sebanyak tujuh kali iaitu pada 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/mb1-1-500x333.jpg.webp)
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/b2-500x333.jpg.webp)
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/b1-1-500x333.jpg.webp)
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/m2-1-500x333.jpg.webp)