BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Tiga kategori dalam boikot, antara hujah dan emosi berlebihan

Semenjak perang di Gaza kembali meletus bermula Oktober 2023, istilah boikot turut sama meletup. Boikot satu tindakan protes oleh sesebuah masyarakat terhadap sesuatu pihak dengan cara memulaukan.

Caranya sama ada tidak membeli, menyumbang, melanggan atau apa sahaja yang boleh menguntungkan pihak itu.

Pihak tersebut boleh jadi sesebuah pemerintahan dan segala entiti berkaitannya yang menyumbang kepada kekuatannya. Boleh jadi juga pihak itu hanyalah sesebuah syarikat, kedai atau individu.

Kalau boikot ialah pemulauan, maka kewajarannya hendaklah menurut motif di sebaliknya. Untuk mendapatkan motif, perlu ditanya, siapa pihak yang ingin diboikot dan apakah kesalahan yang dilakukannya?

Boikot wajar sekiranya melibatkan pihak yang terbukti melakukan kesalahan melibatkan manusia lain dan menindas mereka tanpa menunjukkan tanda penyesalan dan perubahan.

Dalam kes popular sekarang ialah negara Israel yang terbukti sejak 1948 menafikan hak-hak rakyat Palestin dan menolak daripada mematuhi undang-undang antarabangsa.

Antara badan berpengaruh di peringkat antarabangsa yang mengatur agenda boikot tersebut ialah Boycott, Divestment, Sanctions (BDS).

Perjuangan BDS sememangnya demi menentang kezaliman Israel terhadap Palestin termasuk menerusi gerakan boikot. Sasarannya ialah syarikat milik Israel dan antarabangsa yang mengaut keuntungan hasil dari pencabulan hak rakyat Palestin.

BDS menyenaraikan syarikat-syarikat tersebut di laman-laman web mereka.

Bagi saya, sewajarnya kita bersetuju dengan seruan boikot terhadap syarikat-syarikat yang terbukti memberikan keuntungan kepada Israel.

Maksudnya, bukan sekadar tahap mungkin atau rasa-rasa, tapi sudah mencapai tahap kepastian berdasarkan rekod-rekod sebelum ini. Untuk kategori ini, seseorang wajar untuk memboikot semampu yang boleh.

Manakala syarikat dan jenama lain yang tidak terbukti lagi sama ada membantu Israel atau tidak pula tidak semestinya terus diboikot, antaranya francais-francais bagi syarikat antarabangsa yang ada di Malaysia.

Terdapat tarik-menarik dalam hujah untuk memboikot atau tidak memboikot. Sesetengah hujah yang diberikan ada sudut pandang yang munasabah termasuk dari segi impak ekonomi yang berantai termasuk melibatkan pembekal, peniaga, pekerja dan sebagainya.

Dalam wacana agama, hujah-hujah tersebut relevan, justeru perselisihan pandangan dalam hal ini juga relevan untuk mempunyai pandangan berbeza.

Pihak yang memilih untuk boikot kategori ini ada hujahnya, malah secara serentak akan menggalakkan pengeluaran ganti jenama tempatan yang lain.

Persaudaraan muslim

Pihak yang memilih untuk tidak memboikot juga ada alasan yang relevan kerana kesnya tidak sama dengan syarikat yang terbukti memberi keuntungan kepada Israel sebagaimana tadi. Jika begitu, maka bersederhanalah dalam berbeza pandangan.

Antara ciri kesederhanaan ialah pihak yang memboikot hendaklah meyakinkan pihak lain dengan hujah, bukannya memalukan mereka dengan mengambil gambar dan video kemudian dibuat keterangan yang menghina dan mencela.

Tidak juga dengan gangguan seperti membunyikan hon di kawasan pandu lalu restoran tertentu. Apatah lagi dengan mempertikai keislaman pihak yang tidak memboikot.

Persaudaraan sesama manusia dan sesama muslim tetap perlu dijaga, antaranya dengan menjaga kehormatan mereka tanpa memalukan atau menyakiti mereka.

Tambahan pula, meski ada pandangan berbeza tentang boikot, rata-rata mereka bersepakat membantah penjajahan Palestin serta menyokong perjuangan rakyatnya yang ditindas oleh Israel.

Fenomena boikot tersebut ternyata telah menjalar ke isu-isu lain. Antaranya ialah stoking kalimat Allah di KK Mart yang mendorong sesetengah muslim menyeru boikot.

Jika dilihat, kes itu hingga kini masih disiasat dan belum ada keputusan muktamad. Malah dari segi logik pula cukup bermasalah jika peniaga yang mendamba pembeli sengaja memprovokasi dengan menghina agama hingga perniagaannya dipulau.

Kalau boikot sesuatu kedai dilakukan kerana isu harga yang tinggi, ada unsur rasisme dalam perniagaan atau apa-apa alasan lain yang relevan, maka terpulanglah kepada sesiapa yang mahu boikot.

Tapi jika kerana alasan agama, maka ketahuilah bahawa keberagamaan mestilah berpandukan hujah dan bukti, bukannya mengikut perasaan yang berlebihan sahaja.

Oleh itu, sejak awal lagi isu ini tidak sepatutnya disambut dengan boikot. Beberapa hari lalu, Mufti Perak mengeluarkan kenyataan agar berhenti daripada memboikot kedai tersebut kerana tuduhan menghina Islam tidak terbukti berlaku kepada kedai itu.

Benar, menghina agama dilarang, tapi menuduh orang menghina agama tanpa sebarang bukti juga dilarang. Memboikot kerana tuduhan itu tentulah dilarang.

Demikian secara ringkasnya rencana ini menyentuh tentang tiga kategori boikot. Pertama, kewajaran memboikot syarikat yang terbukti menguntungkan negara haram Israel atau penjajah lain yang seumpama dengannya.

Kedua, kewajaran untuk ada perbezaan pandangan dalam syarikat yang tidak terbukti memberi sokongan itu. Terdapat pelbagai hujah yang relevan dan tarik-menarik dari segi kebaikan dan keburukan boikot dalam kes ini.

Ketiga, tiada kewajaran untuk memboikot tanpa alasan yang kuat. Contohnya menuduh pihak tertentu menghina agama sedangkan belum terbukti, sementelah siasatan masih berlangsung dan belum ada keputusan muktamad.

Apa yang lebih penting, perdebatan kita tentang boikot tidak mengalpakan kita daripada nilai di sebalik boikot iaitu menegakkan keadilan dan melawan penindasan. Jika salah bertindak, boikot boleh bertukar menjadi penindasan dan ketidakadilan.

 

 

 

 


Pengarang :