Seekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) Bukit Aman dibawa ke lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan Abdul Mattin, 6, 200 meter dari kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai, bagi membantu siasatan pada 10 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Zayn Rayyan: Ibu bapa dituduh atau bebas diketahui esok

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Nasib ibu bapa kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin akan diketahui esok sama ada dituduh atau dibebaskan bergantung kertas siasatan yang sedang dilengkapkan polis sebelum tempoh reman mereka tamat esok.

Peguam yang mewakili pasangan itu, Fahmi Abd Moin berkata kertas siasatan yang dilengkapkan itu kemudiannya perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bahagian pendakwaan untuk semakan sebelum arahan selanjutnya.

Beliau berkata, sekiranya bahagian pendakwaan tidak berpuas hati dengan kertas siasatan berkenaan kebiasaannya bahagian pendakwaan akan memulangkan kembali kepada pasukan penyiasat untuk siasatan lanjut.

“Suspek atau orang yang disyaki (OYDS) hendaklah dilepaskan dengan jaminan polis. Sekiranya pendakwaan mendapati ada bukti kukuh untuk menuduh mana-mana individu, suspek akan dibawa ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan.

“Pertuduhan boleh dilakukan pada hari sama reman OYDS tamat atau keesokannya bergantung arahan AGC,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata hingga kini beliau masih belum dapat bertemu anak guamnya dan tidak menerima sebarang makluman daripada pegawai penyiasat.

“Kali terakhir saya bertemu dengan pasangan suami isteri itu adalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya ketika permohonan sambung reman ke atas mereka Jumaat lalu.

“Kita ada memohon untuk bertemu anak guam tetapi tiada maklum balas daripada pegawai penyiasat mungkin mereka mahu ruang melakukan siasatan, jadi kita faham,” katanya.

Fahmi berkata, keadaan keluarga kedua-dua pasangan itu tidak dinafikan berada dalam keadaan tertekan namun mereka menyerahkan kepada siasatan polis.

Semalam, ibu Zayn Rayyan yang kini berada dalam tahanan reman polis dibawa ke Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya dekat sini untuk proses siasatan lanjut oleh polis.

Wanita berkenaan dibawa ke unit kediaman keluarganya sebelum ke lokasi tempat mayat kanak-kanak malang itu ditemukan.

Proses membawa wanita itu dipercayai dilakukan adalah untuk melakonkan semula situasi kejadian semasa kehilangan Zayn sehinggalah mayatnya ditemui pada 6 Disember lalu.

Suspek turut dibawa menuju ke arah sungai lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui. Proses siasatan di lokasi itu tamat 12.20 tengah hari.

Terdahulu, pasangan suami isteri berusia 28 tahun itu ditahan di Puncak Alam, Selangor 31 Mei lalu sebelum direman tujuh hari sehingga 7 Jun lalu.

Pada 7 Jun lalu, kedua-duanya telah disambung reman enam hari lagi dan tempoh reman tamat esok.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, terdapat percanggahan keterangan daripada ibu, bapa dan saksi antara sebab siasatan lanjut perlu dilakukan polis.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan pelbagai usaha dalam lengkapkan kertas siasatan.

Katanya, ada perkara yang perlu disemak semula kerana ada perkara yang tidak selari serta konsisten daripada keterangan saksi dan sebagainya menjurus kepada tangkapan ibu bapa Zayn Rayyan.


Pengarang :