AGENDAJENAYAH

Peniaga rugi hampir RM1.2 juta ditipu ejen pelaburan

IPOH, 11 JUN: Seorang peniaga kerugian hampir RM1.2 juta selepas terperdaya dengan pelaburan perniagaan barang-barang lusuh secara bersemuka sejak Ogos 2022.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata siasatan awal mendapati lelaki berusia 48 tahun itu mengetahui tentang pelaburan berkenaan melalui seorang lelaki yang dikenalinya dan menjanjikan pulangan lumayan melalui perniagaan terbabit.

“Suspek menyamar sebagai ejen pelaburan dan memujuk mangsa membuat pelaburan dalam perniagaan itu dengan menjanjikan keuntungan empat peratus setiap bulan daripada modal yang dilaburkan selain 18 bulan diperlukan bagi mendapatkan pulangan modal keseluruhan.

“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa mengeluarkan tiga cek berjumlah RM1.2 juta dan pada Februari lepas mangsa telah berjumpa dengan suspek untuk pulangan (keuntungan) pertama, namun suspek memberikan pelbagai alasan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Yusri berkata mangsa kemudian menyedari pelaburan berkenaan tidak wujud dan percaya dirinya telah ditipu lalu membuat laporan polis.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, justeru orang ramai dinasihati supaya berwaspada dengan tawaran pelaburan secara dalam talian mahupun bersemuka.

— BERNAMA


Pengarang :