Sky Mirror di Kuala Selangor antara tarikan pelancong tempatan dan luar negara. Foto arkib SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor paling ramai dikunjungi pelawat domestik pada 2023, rekod 27.6 juta orang

PUTRAJAYA, 12 JUN: Pelancongan domestik di Malaysia merekodkan 58.6 juta pelawat pada suku pertama 2024 (S1 2024), melonjak 19 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, pelawat domestik meningkat 6.5 peratus daripada suku keempat 2023.

Beliau berkata perbelanjaan pelancongan domestik bagi S1 2024 merekodkan RM24.1 bilion, melonjak 25.3 peratus tahun ke tahun.

“Prestasi tahunan pelancongan domestik di Malaysia mengalami peningkatan drastik pada 2023 dengan jumlah perbelanjaan mencatatkan RM84.9 bilion, berbanding RM64.1 bilion pada 2022.

“Jumlah pelawat domestik turut melonjak 24.6 peratus untuk mencatatkan 213.7 juta pelawat berbanding 171.6 juta pelawat pada 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini sempena laporan Survei Pelancongan Domestik Malaysia (DTS) 2023 dan Buletin DTS Bagi Suku Pertama 2024.

Menurut Mohd Uzir perbelanjaan tertinggi pelawat domestik adalah untuk membeli-belah dengan sumbangan sebanyak 36.3 peratus, diikuti oleh makanan dan minuman(16.3 peratus) dan pembelian bahan api kenderaan (13.2 peratus).

Kumpulan ejen pelancongan dari Thailand dibawa melihat helang ketika lawatan Anjung Utara di Pasir Penampang, Kuala Selangor pada 10 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mengenai ketibaan pelawat domestik mengikut negeri, Selangor muncul sebagai negeri dikunjungi paling ramai pelawat domestik pada 2023 dengan 27.6 juta pelawat domestik, diikuti Kuala Lumpur dan Sarawak masing-masing menerima 22.2 juta dan 17.9 juta pelawat domestik.

“Jumlah pelancong domestik yang berkunjung ke Johor menunjukkan peningkatan ketara iaitu 42.7 peratus bagi merekodkan 8.92 juta pelancong berbanding tahun sebelumnya, 6.25 juta pelancong,” kata Mohd Uzir.

– BERNAMA

Destinasi pelancongan bersejarah Bukit Malawati di Kuala Selangor. Foto Facebook Tourism Selangor

Pengarang :