Foto Facebook Agensi Antidadah Kebangsaan
AGENDAJENAYAH

168 individu ditahan dalam operasi dadah di tiga daerah

SHAH ALAM, 12 JUN: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menahan 168 individu kerana disyaki penagih dadah dalam Operasi Pengesanan Orang Yang Disyaki (OYDS) di tiga daerah di Selangor dari 9 hingga 11 Jun lalu.

Operasi perdana melibatkan daerah Petaling, Hulu Langat dan Kuala Selangor itu menyaksikan daripada 168 yang ditahan, 162 OYDS didapati positif dadah berbahaya manakala lima lagi negatif ujian saringan.

AADK dalam kenyataan hari ini memaklumkan baki seorang lagi OYDS diserahkan kepada polis kerana disyaki terlibat aktiviti mengedar dadah.

Daripada jumlah ditahan 81 individu didapati positif dadah jenis Opiat, Methamphatamine (39), Methamphetamine dan Marijuana (tiga); Opiat dan Methamphetamine (36), manakala Opiat, Methamphetamine dan Marijuana masing-masing seorang.

Operasi perdana melibatkan 70 anggota dan pegawai daripada pelbagai jabatan serta agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam, Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dijalankan bertujuan untuk mengesan dan menahan OYDS sebagai penagih dadah atau klien dalam komuniti yang melanggar syarat pengawasan.

AADK berharap operasi berkenaan dapat memastikan OYDS yang dikesan menjalani program rawatan dan pemulihan disediakan agensi itu selain menyekat kemasukan dadah di kawasan tersebut sekali gus memastikan keselamatan masyarakat setempat ditingkatkan.

– BERNAMA


Pengarang :