Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura Lawrence Wong mengadakan sidang media bersama sempena lawatan kerja dua hari Perdana Menteri Singapura itu ke Malaysia pada 11 dan 12 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar, Wong nyatakan komitmen perkukuh hubungan dua negara rentas semua sektor

PUTRAJAYA, 12 JUN: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong menegaskan komitmen mereka untuk bekerjasama rapat bagi mewujudkan ikatan yang lebih teguh antara kedua-dua negara dan merentas semua sektor.

Dalam pertemuan rasmi sulung mereka di Seri Perdana di sini hari ini, Anwar berkata beliau dan Wong membincangkan hubungan dua hala secara terbuka dan jujur untuk mempertingkatkannya lagi.

Beliau berkata Wong, yang tiba di sini semalam untuk lawatan pengenalan selama dua hari atas jemputan Anwar, komited seperti pendahulunya dalam menangani isu-isu dua hala yang tertunggak dan berterusan seperti zon ekonomi, pelaburan, perjanjian air, ruang udara, dan sempadan maritim.

“Saya sangat gembira dengan Perdana Menteri Lawrence Wong. Beliau kelihatan begitu komited dalam pertemuan pertama ini sebagai perdana menteri. Saya kagum dengan agenda beliau dan kesediaannya untuk bersikap jujur dan terbuka.

“Saya menantikan hubungan dan ikatan yang sangat sihat dan kuat untuk memberi manfaat kepada kedua-dua negara kita,” kata Anwar dalam sidang akhbar bersama Wong selepas pertemuan makan tengah hari.

Anwar berkata hubungan Malaysia dan Singapura yang kukuh dan dinamik bukan sahaja akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara tetapi juga rantau ini secara keseluruhan.

“Saya melihat ini secara pragmatik bahawa Malaysia sudah tentu akan mendapat manfaat besar dengan menjadikan Singapura sebagai rakan dan jiran yang hebat dan begitu juga manfaatnya kepada rakyat Singapura. Kami menganggap Singapura sebagai rakan strategik yang sangat penting dan saya telah menyatakannya tanpa ragu-ragu.

“Sudah tentu ada isu-isu yang perlu diselesaikan, tetapi ia akan memberi manfaat besar. Kita boleh menunjukkan bukan sahaja kepada rantau ini tetapi kepada dunia bahawa kita boleh menjadi jiran yang sangat baik dan melalui langkah-langkah praktikal menyelesaikan beberapa isu ini.

“Kita juga harus mencari jalan baharu untuk kerjasama yang bukan hanya melangkaui ekonomi dan perdagangan, tetapi juga budaya dan pelancongan serta semua bidang yang berkaitan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :