AGENDAJENAYAH

Tikam rakan asrama dengan pisau, pelajar tingkatan empat ditahan

IPOH, 12 JUN: Pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam pergaduhan sehingga menyebabkan kecederaan di sebuah sekolah menengah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pelajar itu ditahan 6 petang semalam susulan laporan warden asrama sekolah itu mengenai pergaduhan melibatkan dua pelajar.

“Mangsa dan suspek merupakan rakan asrama. Mangsa ditikam di bahagian dada, belakang badan dan paha sebelah kanan dengan dua bilah pisau. Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Seri Botani di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abang Zainal berkata pihaknya akan mengambil keterangan saksi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Beliau turut meminta individu yang mempunyai maklumat mengenai kes itu berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Jagdeep Singh di talian 019-442 4361 atau tampil di balai polis berhampiran.

– BERNAMA


Pengarang :