Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat reruai pameran ketika majlis pembukaan Semicon Asia Tenggara 2024 di MITEC, Kuala Lumpur pada 28 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALRENCANAWAWANCARA

Perkukuh ekosistem industri, Invest galas misi jadikan Selangor negeri emas Malaysia

Invest Selangor Berhad atau dahulunya dikenali sebagai Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC Berhad) merupakan agensi pemudah cara dalam urusan berkaitan pelaburan, penyediaan maklumat serta khidmat nasihat berhubung pelaburan berpotensi dan sedia ada di negeri ini.

Ditubuhkan pada 1 Jun 1999, Invest Selangor kini menginjak ke usia Jubli Perak sekali gus lebih yakin dan cekap dalam menguruskan sektor pelaburan bagi mempamerkan ‘Selangor The Golden State of Malaysia’ kepada dunia.

Ikuti temu bual Selangorkini dalam edisi istimewa bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Hasan Azahari berkaitan sejarah penubuhan Invest Selangor, sasaran masa hadapan dan harapannya untuk keseluruhan organisasi serta ekonomi negeri.

***********************

SK: Sebagai pembuka bicara, boleh Dato’ jelaskan peranan dan fungsi Invest Selangor kepada negeri Selangor khususnya?

DATO’ HASAN: Invest Selangor sebagai agensi penggalak pelaburan kepada Kerajaan Negeri sudah pasti tugas utamanya untuk mempromosikan peluang pelaburan di Selangor. Kedua, memberikan khidmat fasilitasi kepada para pelabur dan yang ketiga, untuk menyelaras projek pelaburan yang dilaksanakan. Dalam melaksanakan proses promosi ini, kita terlibat dalam pelbagai aktiviti dan inisiatif. Antaranya, misi penggalakan ke luar negara mengikut kekuatan bidang yang telah dikenal pasti.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) Dato’ Hasan Azhari Idris bercakap kepada media ketika
ditemu bual Media Selangor di ibu pejabat Invest Selangor Berhad, Shah Alam pada 20 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Di samping itu, kita juga aktif menyertai pelbagai pameran di peringkat antarabangsa dan tempatan dalam melaksanakan usaha promosi, dan juga mengetengahkan kekuatan ekosistem industri di Selangor seperti industri aeroangkasa, elektrik dan elektronik serta lain-lain.

Pelbagai sesi libat urus dilaksanakan dengan pelabur, persatuan perniagaan dan kedutaan asing. Sesi libat urus ini terdapat dalam pelbagai bentuk, sama ada menerusi program dialog, taklimat, seminar dan sebagainya. Itu promosi yang kita buat.

Untuk promosi di media cetak dan digital, dahulu kita banyak fokus di media tempatan tetapi untuk dua tiga tahun kebelakangan ini kita juga agak aktif dengan media antarabangsa terutamanya di Indonesia, Thailand, Hong Kong dan Singapura.

Bagi khidmat fasilitasi ini, kita membantu para pelabur mengenal pasti lokasi yang bersesuaian untuk dipilih sebagai destinasi pelaburan mereka. Sebagai contoh, syarikat A yang baru mencari kawasan sesuai kita akan sediakan senarai pilihan dan bawa mereka ke lawatan tapak supaya mereka dapat lihat gambaran sebenar keadaan infrastruktur dan ekosistem di situ. Itu antara khidmat yang kita sediakan selain khidmat nasihat berkaitan prosedur.

Kita juga adakan mesyuarat penyelarasan setiap bulan yang dipengerusikan Yang Berhormat EXCO Pelaburan. Yang ini kita namakan mesyuarat penyelarasan projek pembangunan dari dalam dan luar negara. Kita akan bincangkan hal ehwal pelaburan atau isu yang dihadapi pelabur yang sedang laksanakan projek pembinaan mereka. Ia akan disertai semua pihak seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan Daerah, agensi kerajaan dan sebagainya. Jadi mereka akan dapat respons yang lebih cepat.

SK: Sepanjang 25 tahun ini, apakah penjenamaan atau imej-imej baharu yang ditampilkan bagi mengukuhkan lagi peranan dan fungsi Invest Selangor?

DATO’ HASAN: Invest Selangor dahulu ditubuhkan sebagai Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC Berhad) yang beroperasi pada 1 Jun 1999. Tetapi sebelum itu, Kerajaan Negeri ada tubuhkan Jawatankuasa Petugas Pelaburan Asing bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN). Fungsinya berkembang sehingga tertubuhnya SSIC. Pada 2015, kita buat keputusan untuk menjenamakannya semula kepada Invest Selangor. Kenapa kita tukar, kerana namanya menggambarkan tugas dan fungsi kita. Ini kerana sejak 1999, ramai belum tahu fungsi SSIC. Apabila ditukar kepada Invest Selangor, ramai yang lebih tahu dan faham. Malah kalau buat carian di Internet pun lebih mudah. Apabila makin berkembang, kita perluaskan fungsi dan tugas kepada pelbagai bidang.

Pada 2015, kita tubuhkan Majlis Teknologi Maklumat dan E-dagang Selangor (SITEC). Tujuannya adalah untuk kembangkan industri e-dagang. Visi SITEC adalah membangunkan Selangor sebagai hab dagangan serantau untuk e-dagang serta membangunkan ekosistem syarikat pemula. Dari situ tertubuhnya Perbadanan Ekonomi dan Maklumat Digital Selangor (SIDEC).

Pada 2015, juga kita mula menganjurkan Ekspo Antarabangsa Selangor yang mana sekarang dikenali sebagai Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS). Pada tahun itu kita campurkan semua industri kerana kita tidak tahu komponen mana yang akan mendapat sambutan baik. Kemudian pada 2016, kita mula nampak respons. Sebab itu pada 2017, kita sudah mula buat segmen dan asingkan sektor

Pada 2016, kita tubuhkan Majlis Bio Selangor (Selangor Bio Council). Kita fokus kepada industri bioteknologi. Ia dipengerusikan Yang Berhormat EXCO Pelaburan dan dianggotai pemain industri dan agensi kerajaan. Fokusnya adalah untuk mencari potensi bio teknologi industri dan menasihati Kerajaan Negeri tentang hal berkaitan teknologi baharu.

Pada 2016 juga kita tubuhkan Majlis Aeroangkasa Selangor (Selangor Aerospace Council). Fungsinya lebih kurang sama tetapi fokus industrinya berbeza dan komponen keahliannya juga lebih kurang sama, ia dipengerusikan Dato’ Menteri Besar sendiri.

Pada 2016 juga, kita tubuhkan Majlis Halal Selangor (Selangor Halal Council) tetapi kemudiannya diserahkan kepada Kerajaan Negeri yang mempunyai portfolio untuk industri halal.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) Dato’ Hasan Azhari Idris
ditemu bual Media Selangor di ibu pejabat Invest Selangor Berhad, Shah Alam pada 20 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Untuk 2017, kita hasilkan Kajian Pelan Induk Perindustrian Selangor (Selangor Industrial Master Plan Study). Di bawahnya ada lima kluster industri yang kita fokuskan. Lima kluster industri itu adalah elektrik dan elektronik, makanan dan minuman, kelengkapan pengangkutan (aeroangkasa, automatif, keretapi), sains hayat, dan yang terakhir peralatan mesin. Pada 2021, lima kluster itu kemudiannya ditambah dua lagi kluster dalam sektor perkhidmatan iaitu logistik dan pelaburan digital.

SK: Sejauh manakah Invest Selangor membantu pelaburan masuk ke Selangor?

DATO’ HASAN: Dalam organisasi kita ini, ada beberapa bahagian yang terlibat secara terus dengan industri iaitu Investment Development Division. Ia lebih kepada aktiviti pra pelaburan iaitu mempromosi aktiviti pelaburan kepada pelabur berpotensi. Yang kedua, kita ada bahagian yang dinamakan Investment and Services Support Division. Mereka ini membantu syarikat yang telah membuat keputusan untuk melabur.

Ketiga, kita ada Selangor Darul Ehsan Aerospace Industry Coordination O¬ce (S-DAICO) yang hanya fokus kepada industri aeroangkasa. Kita juga ada satu lagi bahagian yang fokus kepada industri bio teknologi iaitu Selangor Biotech Coordination O¬ce (S-BIOCO). Kedua-dua bahagian ini fokus untuk dua industri berkenaan sahaja.

SK: Apakah strategi yang dimainkan dalam mempromosikan usaha untuk menarik pelaburan dan pembangunan di negeri ini?

DATO’ HASAN: Strategi kita, salah satunya, selain daripada ‘normal approach’ adalah melalui majlis dan program. Sebagai contoh, SIBS. Kita tidak hanya promosi negeri kita tetapi juga negeri dan negara Asean lain. Kita beri peluang kepada mereka untuk promosikan lokasi mereka sebagai destinasi pelaburan. Kenapa kita buat begitu? Tujuannya untuk perkukuhkan jenama Selangor di peringkat Asean. Dengan memberi peluang kepada yang lain, mereka dapat jadikan Selangor sebagai jambatan mereka, selaras dengan tema Selangor sebagai pintu masuk ke Asean.

Tahun lepas, Filipina, Thailand dan Vietnam antara negara luar yang terlibat. Thailand dan Vietnam sertai melalui kedutaan mereka manakala Filipina hantar lima pakar zon ekonomi untuk dipromosikan. Mereka agak terkejut kerana selepas program itu pada keesokan harinya, ada pelabur yang berminat dan terus terbang ke Filipina. Pahang juga dapat tandatangan MoU dan MoA dengan potensi pelaburan berjumlah RM2 bilion.

Tahun ini kita ada beberapa pembaharuan yang kita perkenalkan iaitu ‘Soft Landing Programme’ pada Mac lalu. Ia adalah insentif untuk membantu pelabur asing dan domestik yang sedang mempertimbang untuk melabur di Selangor. Kita berikan mereka ruang kerja percuma untuk dua orang selama sebulan. Sekiranya mereka buat keputusan untuk melabur, mereka akan dapat tambahan tiga bulan lagi secara percuma dengan tambahan dua orang lagi tenaga kerja, untuk mereka buat kerja awalan seperti hal-hal prosedur dan mencari pekerja. Setakat ini ada dua tempat yang kita sediakan iaitu di Cyberjaya dan i-City Shah Alam. Setakat ini sudah ada satu syarikat dalam sektor elektrik dan elektronik dari Belanda yang terlibat.

Selain itu, kita buat juga untuk industri lain iaitu Selangor Lab Partnership, untuk syarikat yang mahu menggunakan fasiliti makmal. Mungkin mereka sudah beroperasi di Selangor, dan perlukan kemudahan ujian makmal. Setakat ini kita sudah berkolaborasi dengan Universiti Selangor (Unisel) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), Cuma belum dilancarkan secara rasmi.

SK: Dari aspek pelaburan, apa yang boleh Dato’ boleh katakan tentang pencapaian negeri dari tahun ke tahun?

DATO’ HASAN: Dalam tempoh 20 tahun terakhir ini, lebih RM200 bilion projek yang diluluskan di Selangor dan lebih 6,000 projek perkilangan diluluskan. Ini bukan sahaja beri manfaat ekonomi tetapi mampu mencipta peluang pekerjaan. Mengikut rekod dalam tempoh 25 tahun ini lebih 400,000 peluang pekerjaan diwujudkan dan kita percaya ini akan memberi kesan kepada kitaran ekonomi di Selangor.

Sudah tentu apabila pekerjaan bertambah, permintaan untuk perkara lain juga bertambah seperti perumahan, makanan dan sebagainya. Kalau kita lihat pencapaian pada 2023 jumlah pelaburan dalam sektor perkilangan mencapai RM19.3 bilion, berbanding RM12.2 bilion pada tahun 2022. Ia meningkat sebanyak 58 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) Dato’ Hasan Azhari Idris bercakap kepada media ketika ditemu bual Media Selangor di Ibu pejabat Invest Selangor Berhad, Shah Alam pada 20 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Di samping itu, sektor perkhidmatan juga menunjukkan prestasi cemerlang dengan peningkatan sebanyak 42 peratus dalam jumlah pelaburan antara tahun 2022 dan 2023. Subsektor hartanah menjadi pendorong utama dalam sektor perkhidmatan, dengan mencatatkan jumlah pelaburan terbesar sebanyak RM16.8 bilion pada tahun 2023, diikuti oleh subsektor informasi dan komunikasi dengan RM6.6 bilion

SK: Bercakap tentang pencapaian, apakah sektor yang mendominasi pelaburan dan ekonomi di Selangor?

DATO’ HASAN: Selama tempoh 20 tahun ini, sektor pembuatan telah menjadi pendorong utama pelaburan dan ekonomi di Selangor, dengan jumlah pelaburan melebihi RM200 bilion. Subsektor elektrik dan elektronik khususnya telah menjadi penyumbang terbesar dalam sektor pembuatan yang menarik pelaburan purata sekitar RM2 bilion setiap tahun. Namun begitu, sektor perkhidmatan juga telah memainkan peranan penting dalam landskap pelaburan Selangor sejak tempoh 5 tahun yang terakhir.

SK: Sebagai peneraju Invest Selangor , apa yang boleh Dato’ gambarkan Selangor sebagai The Golden State of Malaysia.

Pertamanya, kenapa kita kata Golden State. Ia kerana kita penyumbang ekonomi terbesar. Kita tidak pernah kata kita negeri terkaya. Tahun lepas kita penyumbang ekonomi terbesar dan kita menyumbang suku daripada ekonomi negara. Kita jauh mendahului negara lain. Itu adalah faktor utama kekuatan ekonomi kita.

Yang kedua, kelebihan infrastruktur kita berbanding negeri lain kerana Selangor adalah pintu ekonomi negara sama ada melalui pintu di udara dan laut. Kedua-duanya ada di Selangor dan itu membuktikan kita ada kelebihan dalam perhubungan.

Selain itu, kita juga ada kelebihan dalam tenaga kerja. Jumlah pekerja di Selangor adalah yang terbesar di Malaysia iaitu seramai 4 juta orang. Malah banyak institusi pengajian tinggi ada di Lembah Klang. Mengikut rekod, kita ada lebih 100 pusat pengajian tinggi termasuk awam dan swasta. Untuk kelebihan bakat dan tenaga kerja, Selangor mempunyai kelebihan itu. Selangor ada daya tarikan tersendiri walaupun negeri lain masih dapat pelaburan yang tinggi juga seperti Kedah dan Pulau Pinang. Tetapi untuk kelebihan bakat dan tenaga kerja, masih ada di Selangor. Itu pakej utama kita.

SK: Akhir sekali, apakah kata-kata dan harapan Dato’ dalam memastikan seluruh warga Invest Selangor Berhad terus cemerlang dalam menjayakan negeri ini demi masa depan rakyat?

Pertamanya, kita bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sejak awal penubuhan kita menerima sokongan dan kerjasama yang cukup baik daripada kepimpinan untuk membolehkan kita melaksanakan tugas dan mandat yang diberikan. Saya berharap Invest Selangor dapat terus memainkan peranannya dalam membantu Kerajaan Negeri untuk mengukuhkan lagi ekosistem industri di Selangor dan seterusnya dapat menarik lebih banyak lagi pelaburan di Selangor.
Untuk organisasi, saya mengharapkan Invest Selangor lebih maju ke hadapan dengan menerapkan inovasi baharu seperti menggunakan dan memanfaatkan sistem digitalisasi. Sebelum ini kita tidak banyak guna sistem digital tetapi kita sudah bergerak ke arah itu supaya dapat memberi khidmat lebih cekap dan lebih baik kepada pelabur.


Pengarang :