Pemandangan pada waktu malam Masjidil Haram sempena musim haji 1445H/2024 dirakam dari Menara Jam Diraja Mekah atau nama popular “Menara Abraj Al-Bait” pada 11 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Konvoi kesihatan bantu pindah jemaah dirawat dari Madinah tunaikan haji

MAKKAH, 14 JUN: Sebuah konvoi pengangkutan kesihatan lengkap dengan kumpulan 24 ambulans telah memindahkan 17 jemaah pelbagai negara dari hospital mereka dirawat di Madinah ke Tapak Suci pada 9 Jun, bagi membolehkan mereka menunaikan haji sambil menerima rawatan.

Menurut laporan Agensi Berita Arab Saudi yang memetik Kementerian Kesihatan Arab Saudi, keadaan kesihatan jemaah dipantau dan dinilai oleh pasukan perubatan pakar yang mengiringi konvoi itu sehingga tiba di Tapak Suci.

Konvoi itu adalah sebahagian daripada sistem penjagaan kesihatan berintegrasi yang disediakan, merangkumi semua sektor kesihatan di bawah pengawasan dan organisasi Direktorat Kesihatan Am di Madinah.

“Kluster kesihatan di Madinah, dengan kerjasama beberapa sektor kesihatan, menyediakan kumpulan lengkap terdiri daripada 24 ambulans yang dilengkapi dengan bekalan perubatan penuh. Ia juga termasuk pasukan perubatan khusus yang terdiri daripada 106 pengamal (doktor, jururawat dan paramedik) dan enam ambulans ditempatkan sepanjang jalan migrasi antara Madinah dan Makkah.

Selain itu, konvoi berkenaan juga terdiri daripada kenderaan penyelenggaraan dan bengkel bergerak, kenderaan oksigen, kenderaan pemantauan dan intervensi pantas, menurut laporan itu.

Laporan itu juga menekankan bahawa ini adalah kali pertama Bulan Sabit Merah Saudi, Hospital Pakar Raja Faisal di Madinah, Hospital Putera Mohammed bin Abdulaziz untuk Pengawal Nasional, dan Hospital Putera Sultan untuk Angkatan Bersenjata, bersama beberapa kemudahan kesihatan swasta bekerjasama dalam menyediakan konvoi ini.

Setiap tahun, Kementerian Kesihatan berhasrat untuk memindahkan jemaah yang sakit dari hospital di Madinah ke Tapak Suci, membolehkan mereka menyelesaikan ibadah haji dalam keadaan sihat dan selamat.

Sementara itu, laporan tersebut menyatakan bahawa beberapa jemaah dan pengiring mereka mengucapkan terima kasih dan penghargaan mereka kepada Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, dan Putera Mahkota atas kemudahan haji dan tahap penjagaan kesihatan yang disediakan kepada mereka di Madinah sejak ketibaan mereka sehingga berangkat ke Makkah.

– BERNAMA


Pengarang :