AGENDANASIONAL

Promosi judi dalam talian, 27 pempengaruh media sosial ditahan

SHAH ALAM, 14 JUN: Seramai 27 pempengaruh media sosial ditahan polis semalam berikutan disyaki bersubahat dengan sindiket perjudian untuk mempromosi kegiatan itu dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berkata kesemua suspek ditahan serentak di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, lapor Berita Harian.

Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menjelaskan pempengaruh itu termasuk 23 wanita berusia antara 21 hingga 35 tahun dibayar berdasarkan jumlah pengikut di akaun media sosial masing-masing.

“Setiap pempengaruh dibayar antara RM1,500 ke RM8,000 bergantung jumlah pengikut di media sosial.

“Siasatan mendapati setiap pempengaruh digaji sindiket ini aktif sekurang-kurangnya di dua platform media sosial,” katanya yang turut merampas 30 telefon bimbit untuk siasatan lanjut.

Mohd Shuhaily menambah pempengaruh yang terlibat menjual pelbagai barangan termasuk produk kecantikan, di samping mempromosi laman kegiatan judi dalam talian lebih setahun lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Pengarang :