Kumpulan ejen pelancongan dari Thailand dibawa melihat helang ketika lawatan Anjung Utara di Pasir Penampang, Kuala Selangor pada 10 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor rekod kemasukan pelancong domestik tertinggi tiga tahun berturut

SHAH ALAM, 14 JUN: Selangor konsisten mencatat kemasukan pelancong domestik tertinggi dalam tiga tahun berturut-turut dengan 27.6 juta pengunjung direkodkan tahun lalu.

Ketua pegawai eksekutif Tourism Selangor berkata angka itu mengatasi semua negeri lain yang mana Kuala Lumpur di kedudukan kedua dengan 22.2 juta pengunjung dan Sarawak (17.9 juta).

“Pada 2021 seramai 10 juta pengunjung domestik ke Selangor manakala 22 juta pada 2022.

“Pertumbuhan yang mampan ini meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor dengan ketara, menyumbang RM 2.571 bilion pada 2023,” kata Azrul Shah Mohamad dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad (tengah) bergambar bersama pengamal media ketika lawatan di Ladang Farm Fresh, Serdang pada 14 Februari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau menambah prestasi luar biasa itu adalah bukti kejayaan kempen pelancongan domestik “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!” dengan mempromosi 10 segmen pelancongan yang pelbagai di sembilan daerah.

“Kempen ini telah meletakkan asas yang kukuh untuk Tahun Melawat Selangor 2025 yang akan datang.

“Justeru, tahun depan kita menyasarkan untuk menarik lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa. Kita komited meningkatkan tawaran tarikan pelancongan dan memastikan Selangor kekal sebagai destinasi utama pelancong,” katanya.


Pengarang :