Dua suspek lelaki ditahan kerana disyaki menyeludup 69 lembu dianggarkan bernilai RM345,000 di dalam dua treler berhampiran hutan sempadan Malaysia-Thailand di Tanah Merah pada 14 Jun 2024. Foto Markas Divisyen Kedua Infantri
AGENDAJENAYAH

Tentera, polis patahkan cubaan seludup masuk 69 lembu

TANAH MERAH, 15 JUN: Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mematahkan cubaan menyeludup masuk 69 ekor lembu bernilai RM345,000 dalam operasi yang dijalankan semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan memaklumkan kejadian tersebut berlaku di sektor kawasan tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd) sempadan Malaysia-Thailand.

“Berdasarkan maklumat perisikan yang diperoleh, pasukan operasi berjaya menahan dua suspek rakyat tempatan yang sedang melakukan aktiviti penyeludupan lembu di kawasan hutan berdekatan sempadan pada pukul 8.20 malam.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek sedang cuba menyeludup lembu terbabit masuk ke Malaysia untuk dijual sempena sambutan Hari Raya Aidiladha demi mengaut keuntungan yang lumayan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Turut dirampas treler jenis Volvo 50 tan dan CNHTC 50 tan.

“Suspek dan barang rampasan diserahkan ke Balai Polis Lalang Pepuyu dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan untuk tindakan selanjutnya.

“TDM akan terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :