AGENDANASIONAL

MB ucap takziah atas pemergian ibu menteri pendidikan

SHAH ALAM, 16 JUN: Dato’ Menteri Besar merakam ucapan takziah kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek atas pemergian ibu tercinta Datin Dr Siti Zalikhah Md Nor.

“Merakamkan ucapan takziah buat YB Fadhlina Sidek atas pemergian ibunda tercinta. Semoga roh Almarhumah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan di kalangan orang beriman,” maklum Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada 9.30 pagi tadi di Hospital Serdang.

Siti Zalikhah, 75, yang dilahirkan di Perak adalah balu kepada bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Allahyarham Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil dan mempunyai tujuh orang anak.

Allahyarhamah merupakan ahli Jawatankuasa Panel Kajian Syariah (PKS) di bawah Majlis Fatwa Malaysia dan ahli jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji yang dipilih oleh Tabung Haji serta seorang peguam syarie dan berpengalaman dalam bidang Undang-undang Keluarga Islam.

Allahyarhamah juga pernah dilantik Ketua Hal Ehwal Wanita (HELWA) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) selama empat penggal di bawah dua kepimpinan Presiden ABIM iaitu Anwar dan Dr Siddiq dari 1977 hingga 1985.

Beliau juga banyak menulis, membentang, dan menterjemah karya-karya tokoh Islam berkaitan isu wanita dan peranannya daripada perspektif Islam serta kaitan antara wanita dan ilmu.

Allahyarhamah juga aktif membentangkan kertas kerja berkaitan isu wanita, Islam, dan ilmu di seminar-seminar peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

 


Pengarang :