Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bergambar bersama para pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM 2023 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 18 Jun 20204. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Wan Azizah minta pelajar hargai pengorbanan guru, ibu bapa

NIBONG TEBAL, 18 JUN: Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meminta pelajar menghargai pengorbanan guru dan ibu bapa yang telah bertungkus-lumus memastikan mereka mendapat peluang pendidikan terbaik.

Beliau berkata kejayaan anak-anak juga adalah hasil usaha guru dan ibu bapa yang tidak jemu membimbing mereka.

“Banyak pengorbanan yang dilakukan oleh guru dan ibu bapa, jadi ingatlah (jasa mereka) dan sentiasa berpegang dengan budaya timur kita yang penuh dengan nilai sopan santun,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM Sungai Bakap 2023 di sini hari ini.

Majlis itu diadakan bagi menghargai pencapaian cemerlang 155 pelajar lima sekolah di Sungai Bakap yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohammad Abdul Hamid dan Pengarah Pendidikan negeri Abdul Said Hussain.

Wan Azizah juga berharap pelajar akan menyumbang kepada pembangunan negara suatu hari nanti.

Beliau menyifatkan pendidikan sebagai sangat berharga dan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sanggup menolak kerja bergaji tinggi di Amerika Syarikat semata-mata ingin menubuhkan sekolah untuk pelajar yang tercicir dalam pelajaran.

“Pada masa itu, beliau merupakan graduan dari Universiti Malaya dan ditawarkan kerja di New York dengan gaji US$3,000 namun beliau tolak untuk menubuhkan sekolah untuk pelajar tercicir.

“Sekolah tersebut ditubuhkan untuk beri mereka peluang kedua dalam pembelajaran. Itu menunjukkan betapa pentingnya pendidikan untuk PMX (Perdana Menteri ke-10),” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :