PBTSELANGOR

Parkir percuma antara tawaran MBPJ sempena ulang tahun hari ini

SHAH ALAM, 20 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menawarkan pelbagai perkhidmatan percuma sempena ulang tahun ke-18 hari ini.

MBPJ menerusi kenyataan memaklumkan antara perkhidmatan ditawarkan adalah parkir kereta percuma di seluruh Petaling Jaya, penggunaan kolam renang, gelanggang dan padang.

Pengunjung juga boleh menikmati perkhidmatan percuma lain di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin bermula jam 9.30 pagi hingga 11.30 malam.

“Pengunjung berpeluang mendapatkan potongan sebanyak 50 peratus untuk pembelian tong sampah beroda dan pemberian abate (ubat jentik-jentik) secara percuma.

“MBPJ turut memberi anak pokok seperti limau kasturi, ciku, cempedak madu, blueberry dan mulberry kepada pengunjung selari dengan usaha menjadikan Petaling Jaya sebagai sebuah bandar yang indah, bersih dan lestari,” katanya.

MBPJ turut menawarkan 500 keahlian percuma perpustakaan komuniti dan perkhidmatan perpustakaan bergerak bagi memartabat budaya membaca.

Pengunjung juga berpeluang untuk menyertai acara sukan seperti Netball Shoot Out, Sepak Raga Ratus dan Dam Ular pada jam 2 petang dan diikuti cabutan bertuah.

Pada sebelah malam, warga Petaling Jaya berpeluang menyerlah bakat mereka dalam pertandingan Nyanyian Suara Emas dan pertandingan Peragaan Busana Tradisional.

“Kemuncak sambutan ulang tahun ke-18 akan diadakan pada 29 Jun dengan Majlis Perasmian Ulang Tahun Petaling Jaya 2024 dan promosi Petaling Jaya International Folklore Festival 2025 pada jam 8.30 malam di Dataran Boulevard.

“Acara ini menampilkan persembahan kebudayaan, perarakan badan kerajaan dan swasta, persembahan nyanyian artis tanah air seperti Fahimi Angau, Victoria Ng, Santesh, Black Mentor dan Aisha Retno,” katanya.


Pengarang :