Bekalan darah untuk kegunaan Pusat Perkhidmatan Darah Hospital Tuanku Jaafar hasil dari penderma yang menyertai Program Derma Darah Yayasan Matrix Concept dan Pusat Perubatan Mawar di hospital tersebut pada 23 Julai 2022. Foto BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Derma darah harus berkala, penuhi keperluan pesakit seluruh negara

Oleh Shaza Al Muzayen

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Darah tidak boleh disimpan untuk jangka masa lama. Sebab itulah pendermaan darah secara berkala amat penting.

Sel darah merah yang diderma boleh bertahan selama 35- 42 hari jika disimpan dalam peti sejuk. Produk plasma yang disimpan di bawah suhu beku boleh bertahan sehingga tiga tahun. Produk platelet pula hanya dapat bertahan selama lima hari.

Inilah antara sebab Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan pada Mac 2024 bahawa Malaysia memerlukan bekalan harian minimum sebanyak 2,000 beg darah untuk memenuhi keperluan pesakit di seluruh negara.

Ini bermaksud purata 730,000 beg darah setahun diperlukan untuk memenuhi keperluan pesakit di Malaysia, terutamanya mereka yang memerlukan transfusi darah.

Sentiasa Perlukan Penderma Baru

Walaupun ramai yang menderma secara tetap di Malaysia, permintaan bekalan darah sering melebihi bekalan. Ini terutamanya ketika musim cuti dan perayaan kerana kemalangan dan kecemasan perubatan lebih kerap berlaku.

Ketua Seksyen Pengurusan Penderma Bahagian Perolehan Darah Pusat Darah Negara (PDN) Dr Thane Moze Darumalinggam berkata populasi penderma darah di Malaysia belum mencapai tahap mampu diri.

“Jika ingin mencapai tahap mampu diri, usaha mendapatkan penderma baru mestilah berterusan. Pada masa ini, hanya kira-kira 2.3 peratus daripada populasi merupakan penderma darah,” Dr Thane, yang juga Pakar Perubatan Transfusi, memberitahu Bernama.

Peratusan ini lebih rendah daripada syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu lima peratus.

Bagi mengatasi ini masalah ini, perkhidmatan transfusi darah di seluruh negara menyasarkan kadar pendermaan darah negara 35- 40 penderma bagi setiap 1,000 orang menjelang 2030.

Ini bermakna sekitar 3.5 – 4 peratus daripada populasi Malaysia perlu menjadi penderma darah menjelang tahun 2030 bagi mencapai sasaran itu.

“Darah Muda” Diperlukan

Had umur yang layak menderma darah ialah 70 tahun. Penderma boleh menderma seawal usia 17 tahun, namun menurut Dr Thane, populasi penderma darah sedia ada di Malaysia semakin menua.

“Buat masa ini, tidak banyak kajian yang menyokong pendermaan darah serta kesannya ke atas individu berumur lebih 70 tahun. Ini menjadikannya penting untuk merekrut golongan muda antara 17 hingga 24 tahun. Generasi muda ini akan membantu memastikan bekalan darah yang mampan untuk negara,” katanya.

Data PDN antara tahun 2012 dan 2023 menunjukkan bahawa pengambilan penderma darah baru agak perlahan untuk kembali ke tahap sebelum pandemik COVID-19.

Bilangan penderma baru yang paling ramai didaftarkan ialah pada tahun 2015, dengan 183,171 orang. Jumlah pendermaan darah menurun pada tahun 2016 (169,744 orang) dan 2017 (156,942 orang) sebelum meningkat semula pada tahun 2018 dengan 163,316 penderma baru.

Terdapat sedikit penurunan dalam penderma baru pada tahun 2019 (157,808 orang), sebelum menurun dengan mendadak pada tahun 2020 (115,606 orang) dan 2021 (96,702 orang).

Situasi seperti pulih sedikit pada tahun 2022 dengan 120,929 penderma baru, namun jumlah penderma susut semula pada tahun 2023 dengan hanya 118,285 pendaftaran baru.

Untuk mengelakkan kekurangan bermusim, usaha awal telah dimulakan oleh perkhidmatan transfusi darah bagi meningkatkan kesedaran awam, terutamanya dalam kalangan golongan muda.

“Usaha kami termasuk kempen kesedaran awam mengenai darah dan pendermaan darah di platform media sosial popular, menganjurkan ceramah pendidikan dan kempen derma darah di universiti dan kolej, serta mengatur lawatan lapangan ke pusat pengumpulan darah untuk pelajar sekolah dan universiti,” kata Dr Thane.

“Kami juga bekerjasama dengan pelbagai penganjur pendermaan darah bergerak. Ini sebahagian daripada usaha kami mendekati anggota masyarakat yang mengalami masalah untuk ke pusat pendermaan statik kami.”

Sejumlah 575,403 pendermaan darah telah dilakukan pada 2023. Ini merupakan peningkatan sebanyak 2.78 peratus daripada tahun 2022, yang mempunyai 559,827 pendermaan. Kedua-dua tahun ini menunjukkan peningkatan dalam pendermaan darah selepas penurunan yang dialami semasa tahun-tahun pandemik COVID-19.

Petugas kesihatan mengambil sampel darah ketika program Selangor Saring dan Derma Darah di Klang Parade, Klang pada 7 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Kepentingan Menderma Darah

Jangka masa terhad untuk menggunakan darah yang didermakan menegaskan kepentingan pendermaan dan bekalan darah yang berterusan dan stabil.

Ini terutamanya bagi pesakit yang memerlukan transfuse darah bagi pelbagai masalah kesihatan. Antaranya, wanita yang menghadapi komplikasi semasa kehamilan dan kelahiran, pesakit dengan trauma teruk akibat kemalangan, prosedur pembedahan serta keperluan pesakit kanser.

Ia juga diperlukan untuk merawat pesakit dengan gangguan darah seperti anemia, penyakit sel sabit, talasemia, dan hemofilia.

Di Malaysia, transfusi darah juga digunakan untuk kes denggi yang teruk seperti sindrom kejutan denggi atau demam denggi berdarah.

Selain pendermaan dan bekalan darah yang stabil, turut penting ialah memastikan pendermaan daripada pelbagai kumpulan darah.

Data tahun lepas menunjukkan bahawa di Malaysia, jenis darah AB adalah jenis darah yang paling sedikit didermakan dengan 5.5 peratus. Ini disusuli jenis darah A pada 24.7 peratus, darah B (27 peratus) dan jenis darah O (42.7 peratus).

Bukan Semua Boleh Menderma

Darah yang selamat datang daripada penderma yang selamat. Di Malaysia, darah diperolehi daripada penderma sukarela yang tidak dibayar.

PDN telah menetapkan kriteria pemilihan tertentu yang mesti dipenuhi penderma berpotensi sebelum layak menderma darah. Mereka yang tidak memenuhi kriteria ini tidak akan dibenarkan menderma darah. Ini sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi penderma darah semasa proses pendermaan darah serta pesakit yang bakal menerima transfusi.

“Darah yang didermakan juga disaring dengan teliti bagi mengesan jangkitan yang berpotensi dipindahkan melalui transfusi, seperti HIV, hepatitis B, hepatitis C dan sifilis,” kata Dr Thane.

Siapa Boleh Menderma Darah?

Rakyat Malaysia yang ingin menderma darah mesti secara keseluruhan berada dalam kesihatan yang baik dan tidak mengambil sebarang ubat. Penderma harus berumur antara 17 hingga 70 tahun, dengan syarat tertentu bagi kumpulan umur tertentu: Mereka yang berumur 17 tahun mesti mendapat persetujuan bertulis daripada ibu bapa atau penjaga mereka, dan mereka yang berumur 61 hingga 70 tahun mesti menjalani pemeriksaan tahunan yang membuktikan mereka cukup sihat untuk menderma darah.

Selain itu, penderma berpotensi mesti mempunyai berat sekurang-kurangnya 45kg, telah tidur sekurang-kurangnya lima jam pada malam sebelum menderma, dan telah makan sekurang-kurangnya empat jam sebelum pendermaan.

Mereka yang bukan warganegara yang ingin menderma darah di Malaysia dibenarkan berbuat demikian jika mereka memenuhi kriteria yang sama seperti yang ditetapkan untuk rakyat Malaysia, telah menetap di Malaysia selama lebih satu tahun, dan mempunyai alamat tetap di negara ini.

Kempen Jom Derma Darah anjuran Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang diadakan di Pusat Membeli-belah Aeon, Shah Alam pada 28 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Siapa Yang Tidak Boleh Menderma Darah?

Atas sebab kesihatan dan keselamatan, individu tertentu tidak layak untuk menderma darah. Ini termasuk mereka yang telah diuji positif HIV, penderita atau pembawa hepatitis B atau hepatitis C atau mempunyai jangkitan sifilis atau penyakit kelamin lain.

Wanita hamil dan menyusukan anak juga dikecualikan daripada menderma darah. Selain itu, wanita pada tiga hari pertama tempoh haid mereka dinasihatkan untuk tidak menderma tetapi boleh berbuat demikian mulai hari keempat.

Individu yang terlibat dalam gaya hidup berisiko tinggi seperti mengambil dadah secara suntikan, mempunyai ramai pasangan seks, atau terlibat dalam kerja seks komersial juga tidak layak untuk menderma darah.

Keistimewaan Bagi Penderma Darah

Di Malaysia, penderma darah tempatan diberikan keistimewaan perubatan yang boleh diakses di hospital kerajaan. Keistimewaan berdasarkan kekerapan ini sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka dan bertujuan menggalakkan lebih ramai orang untuk menderma secara berkala.

Walaupun keistimewaan ini telah ditawarkan kepada penderma sejak beberapa tahun lalu, ia telah dikemaskini baru-baru ini dengan insentif yang lebih baharu bagi penderma darah.

“Keistimewaan yang ditawarkan termasuk rawatan percuma tertentu seperti rawatan pergigian, rawatan pesakit dalam dan luar, dan kemasukan ke wad kelas pertama atau kedua mengikut ketersediaan hospital kerajaan yang berkaitan.

“Perkhidmatan Perubatan Transfusi dan KKM Malaysia sentiasa menambah baik keistimewaan yang ditawarkan kepada penderma darah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada mereka,” kata Dr Thane.

Maklumat yang lebih terperinci tentang keistimewaan ini boleh didapati melalui MySejahtera dan laman web PDN.

Selain keistimewaan di atas, penderma darah juga diberi penghormatan pada Hari Penderma Darah Sedunia yang disambut pada 14 Jun setiap tahun. Anugerah diberikan kepada penderma darah sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka yang tidak ternilai.

Tren Carian Pendermaan Darah di Malaysia

Ada beberapa istilah carian yang digunakan individu di Malaysia bagi topik ‘pendermaan darah’, berdasarkan data carian 2023 dari Google Trends.

Antara carian yang menonjol bagi tahun itu (mengikut turutan menurun) ialah ‘world blood donor day 2023’, ‘direct relatives cannot donate blood’, ‘can people with tattoos donate blood’, ‘minimum weight to donate blood’, ‘adakah seseorang perlu berpuasa sebelum menderma darah’, ‘world blood donor day 2023 theme’, ‘捐血 好處 (manfaat pendermaan darah)’, ‘blood donation ml’, ‘kepentingan menderma darah’, ‘bank darah’, ‘cara derma darah’, dan ‘捐血 活动 (aktiviti pendermaan darah)’.

(Google menggunakan istilah “breakout” untuk menandakan minat terhadap istilah carian yang meningkat lebih 5000 peratus.)

Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2024

Bersempena dengan ulang tahun ke-20 Hari Penderma Darah Sedunia, yang pertama kali diadakan pada 14 Jun 2004, WHO telah mengumumkan tema tahun ini sebagai “20 years of celebrating giving: thank you blood donors!”.

Dr Thane berkata bahawa tema global Hari Penderma Darah Sedunia berubah setiap tahun bagi mengiktiraf niat baik dan kemurahan hati mereka yang telah tampil untuk menderma darah untuk individu lain walaupun tidak dikenali.

“Tindakan mereka bukan sahaja layak diiktiraf malah menjadi motivasi dan teladan kepada orang ramai dan generasi baru penderma darah. Mereka adalah wira yang tidak didendang, dan kepada mereka, kami ucapkan: ‘Terima kasih, penderma darah!’,” katanya.

Individu yang berminat untuk menderma darah boleh ke pusat pendermaan darah statik yang terletak di PDN, PDN Donation Suite di Mid Valley Megamall, St John Ambulance’s Blood Donation Suite di IOI City Mall Putrajaya, dan St John Ambulance’s Blood Donation Suite di 1 Utama.

Orang ramai juga boleh mengunjungi pusat pendermaan bergerak ketika kempen derma darah berlangsung. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web dan kalendar acara PDN.

– BERNAMA


Pengarang :