EXCO Pelaburan Ng Sze Han (tengah) dan EXCO Agama Dr Fahmi Ngah (tiga, kiri) merasmikan logo Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) sempena Sidang Kemuncak Niaga Selangor (SIBS) 2024 di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada 25 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Sidang halal negeri dianjur sempena SIBS, tumpu tiga tema perkukuh industri

PETALING JAYA, 25 JUN: Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) dianjur sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mulai 16 hingga 19 Oktober.

EXCO agama Islam berkata konvensyen edisi ketiga bertemakan Merancakkan Ekosistem Halal dianjur bersekali dengan Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman).

Dr Fahmi Ngah turut menjangkakan jumlah pengunjung tahun ini meningkat dua kali ganda berbanding 8,000 kehadiran yang direkod tahun lalu.

EXCO Agama Dr Fahmi Ngah ketika sidang media selepas merasmikan Logo SELHAC sempena Sidang Kemuncak Niaga Selangor (SIBS) 2024 di Sheraton Petaling Jaya Hotel, Petaling Jaya pada 25 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Ini julung kali Selhac menyertai SIBS berbanding penganjuran secara bersendirian sebelum ini. Kita yakin jumlah pengunjung dapat dipertingkatkan lebih dari sebelum ini,” katanya.

Berucap pada sidang media pelancaran SIBS, Fahmi berkata Selhac kali ini memberi tumpuan kepada usaha mempercepat pensijilan halal bagi perusahaan kecil dan sederhana, mengoptimum rantaian bekalan logistik dan membudaya inovasi digital halal.

“Tema ini menggariskan komitmen Selhac untuk memajukan lagi sektor halal melalui inovasi, pensijilan, dan logistik yang cekap.

“Ia juga menjadi platform perbincangan dan kerjasama dalam kalangan pemimpin industri, penggubal dasar, ahli akademik dan pihak berkepentingan,” katanya.

Suasana di sekitar Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 4 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mula diperkenal pada 2022, Selhac yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dengan penyertaan lebih 200 pempamer merekodkan transaksi RM37.73 juta.

Tahun lalu sidang terbabit berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur menyasarkan nilai padanan perniagaan sebanyak RM50 juta selain kehadiran lebih 8,000 pengunjung.

Enam komponen diketengahkan sepanjang persidangan merangkumi forum perniagaan, kewangan Islam, pameran, padanan perniagaan, rantaian bekalan halal dan pemasaran digital.


Pengarang :