Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Selangor (SDEC) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor terus terajui ekonomi negara, landasan tepat menuju gemilang

SHAH ALAM, 3 JULAI: Peningkatan sumbangan Selangor sebanyak 25.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional tahun lalu membuktikan pentadbiran negeri pada landasan tepat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah dan usaha dilakukan Kerajaan Perpaduan juga akan berterusan membawa Selangor ke puncak kegemilangan.

“Peningkatan sumbangan KDNK, nilai aktiviti ekonomi mencecah RM400 bilion serta saiz ekonomi yang meningkat bukti bahawa Kerajaan Perpaduan Selangor pada landasan tepat.

“Alhamdulillah Selangor terus mencatat kejayaan demi kejayaan. Berbekalkan usaha gigih semua pihak dan ikhtiar Kerajaan Negeri yang sentiasa memberi yang terbaik.

“Kita menerima khabar gembira apabila Selangor terus menerajui pembangunan ekonomi negara,” katanya menerusi Facebook.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan penjawat awam, pihak swasta, komuniti perniagaan serta rakyat Selangor atas kejayaan terbabit.

“Insya-Allah kami akan terus bekerja lebih kuat agar Selangor terus maju lebih hebat,” katanya.

Semalam, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan KDNK negeri meningkat kepada 25.9 peratus pada 2023, bertambah lebih baik daripada 25.5 peratus tahun sebelumnya.

Pertumbuhan ekonomi juga meningkat sebanyak 5.4 peratus, melebihi pertumbuhan sederhana seluruh negara pada kadar 3.6 peratus tahun lalu.

Laporan turut menunjukkan pertumbuhan KDNK tiga negeri lain merekodkan angka melebihi kadar seluruh negara iaitu Pahang (5.2 peratus), Johor (4.1 peratus) dan Kuala Lumpur (3.7 peratus).

 


Pengarang :