SELANGOR

Lebih 60,000 umat Islam dijangka sertai Malam Ehsan Untuk Insan esok

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Lebih 60,000 umat Islam dijangka berhimpun pada program Malam Ehsan Untuk Insan sempena sambutan Maal Hijrah 2024/1446 di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam, Selangor, esok.

Bertemakan Gaza Bangkit, program yang dianjurkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersama Kerajaan Negeri Selangor itu sebagai wadah untuk mengenang peristiwa penting dalam kalendar Islam disamping menyatakan solidariti buat masyarakat di Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif Mapim Dr Sani Araby Al-Kahery berkata pelbagai pengisian rohani akan dilakukan antaranya ceramah dari pendakwah nusantara Abdul Somad Batubara.

“Beliau (Abdul Somad) dijangka berkongsi pandangan tentang apa yang berlaku di Gaza serta bagaimana umat Islam dapat mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah untuk memperbaiki diri dan masyarakat ke arah pembelaan rakyat Gaza,” katanya hari ini.

Sani Araby berkata program juga akan disemarakkan dengan pelbagai aktiviti antaranya berselawat bersama kumpulan qasidah terkenal, Angham Anisah dan bacaan doa akhir tahun 1445 Hijrah dan doa awal tahun 1446 Hijrah.

Program yang bermula 6 petang itu, diharapkan dapat memupuk rasa kesatuan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia.

– BERNAMA


Pengarang :