Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan ujian susulan pencemaran tumpahan minyak sawit berhampiran pintu air Jalan Tangki di Pelabuhan Klang pada 5 Julai 2024. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENSISELANGOR

LUAS buka kertas siasatan tumpahan sisa minyak sawit di Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 6 JULAI: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membuka kertas siasatan susulan pencemaran tumpahan minyak sawit berhampiran pintu air Jalan Tangki di Pelabuhan Klang, semalam.

LUAS memaklumkan pihaknya menemui tumpahan minyak sawit kira-kira jam 11 pagi berpunca dari sebuah premis kilang penyimpanan minyak sawit yang mengalami kebocoran paip.

“Semakan lanjut di premis dimaklumkan terdapat kebocoran paip hos di dalam premis yang menyebabkan tumpahan minyak masuk ke dalam longkang premis dan mengalir ke dalam parit berhampiran.

“Berdasarkan semakan LUAS di tapak, tiada aliran minyak memasuki sungai berhampiran iaitu Sungai Aur susulan tindakan pantas pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menutup pintu air di lokasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Susulan itu, LUAS mengarahkan pemilik premis melaksanakan kerja pembersihan dan menyedut sisa tumpahan di kawasan terlibat dengan bantuan pihak bomba yang memasang ‘oil boom’.

Menurutnya LUAS melakukan pensampelan kualiti air serta membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 79, Enakmen LUAS 1999 atas kesalahan mencemarkan sumber air.

“Kerajaan Negeri, LUAS dan agensi berkaitan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap kecuaian mana-mana pihak yang menimbulkan permasalahan dan mencemarkan sumber air,” katanya.


Pengarang :