SHAH ALAM, 7 JULAI: Umur bukan penghalang kepada Dato’ Dr Abdul Majid Omar untuk terus menuntut ilmu sekali gus membuktikan kecemerlangan sehingga dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Selangor 1446H.
Abdul Majid, 84, yang baharu menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) di Universiti Selangor (Unisel) pada Februari lalu, sentiasa berpegang kepada ‘tuntutlah ilmu dari ayunan buaian ibu sehingga ke liang lahad’.
Bekas timbalan mufti negeri selama 17 tahun itu berkata golongan muda perlu sentiasa bersyukur dan memanfaatkan setiap peluang dan kemudahan yang ada untuk terus mengejar ilmu.
“Orang muda kalau tidak tuntut ilmu memang rugi. Sekarang negara kita ada banyak peluang dan kemudahan. Manfaatkan setiap perkara dan jangan sia-siakan.
“Belajar sampai habis dan bukan hanya setakat sijil peperiksaan SPM. Buatlah apa sahaja bidang yang disukai, asalkan terus belajar sehingga habis,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan hadiah dan cenderahati kepada Abdul Majid selepas diumum Tokoh Maal Hijrah Selangor 1446H.
Majlis sempena program Ambang Hijrah dan Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri itu diadakan di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam di sini, malam tadi.
Abdul Majid membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, cenderamata dan sijil penghargaan.
Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan barisan pimpinan Kerajaan Negeri.
Abdul Majid yang juga anak kelahiran Kuala Selangor memulakan kerjayanya sebagai guru pada 1960-an dan pernah dinobatkan Tokoh Guru Kebangsaan pada 2007.
Tokoh yang juga agamawan dan pendakwah itu turut gigih membangunkan ummah melalui penulisan buku dan kuliah agama di masjid, surau selain di stesen penyiaran media.