AGENDANASIONAL

MB seru umat Islam berubah lebih baik sempena Maal Hijrah

SHAH ALAM, 7 JULAI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengajak umat Islam berubah ke arah lebih baik sempena peristiwa Hijrah yang disambut hari ini.

Dalam hantarannya di media sosial sempena sambutan Maal Hijrah 1446, Amirudin berkata kisah hijrah Rasulullah SAW merupakan detik bersejarah dan perlu menjadi iktibar umat Islam.

“Pengorbanan Nabi Muhammad SAW meninggalkan keluarga dan tempat kelahiran di Makkah bagi memulakan perjalanan hijrah ke Madinah merupakan iktibar besar membawa seribu makna.

“Semoga peristiwa Hijrah ini menjadi pemangkin buat perubahan kita ke arah yang lebih baik, Insya-Allah,” katanya menerusi Facebook malam tadi.

Awal Muharram atau Maal Hijrah adalah peristiwa sejarah Islam yang disambut bagi memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Madinah pada 622 Masihi.

Tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini adalah ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ yang bermaksud kesejahteraan dan kejayaan. Al-Falah dipilih sempena salah satu lafaz azan yang bermaksud ‘marilah menuju kejayaan (Al-Falah).’


Pengarang :