EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berucap pada perasmian Jelajah Saya Digital Shah Alam di AEON Mall Shah Alam pada 11 Mei 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri sasar capai liputan penuh 5G tahun depan, tarik pelabur industri robotik

SUBANG JAYA, 7 JULAI: Selangor dijangka mencapai liputan rangkaian 5G sepenuhnya pada tahun depan, kata EXCO pembudayaan inovasi.

Dr Fahmi Ngah berkata liputan 5G di negeri ini mencapai 96.1 peratus setakat ini dan pembinaan rangkaian 5G tertumpu di kawasan mempunyai aktiviti ekonomi yang tinggi.

“Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia menetapkan Selangor mencapai liputan 5G sepenuhnya tahun depan dan setakat ini ada 38 tempat ada masalah seperti putus panggilan.

“Selangor berada di landasan tepat untuk capai sasaran ditetapkan. Beberapa perkara sedang ditambah baik supaya rangkaian liputan diperbaiki untuk masa akan datang,” katanya ditemui pada program Jualan Ehsan Rahman di tapak parkir Dewan D’Kelana, Kelana Jaya hari ini.

Fahmi turut memaklumkan Kerajaan Negeri kini sedang mempertimbang peluang-peluang baharu untuk diteroka sejurus Selangor mencapai rangkaian 5G sepenuhnya tahun depan.

“Jika liputan mencapai 5G sepenuhnya, sudah semestinya ada kelebihan pada pengurusan Kerajaan Negeri dan sekaligus dapat beri perkhidmatan baik kepada rakyat.

“Oleh sebab itu, kita sedang meneliti antaranya tapak-tapak industri yang sudah memperoleh 5G yang boleh diberi jaminan kepada pelabur asing untuk melabur khusus syarikat automasi dan robotik,”

Pada 3 Julai, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menjelaskan liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk di Selangor mencapai 96.1 peratus setakat 31 Mei.

Bercakap di Dewan Rakyat, beliau memaklumkan Digital Nasional Berhad (DNB) telah menyiapkan 1,668 daripada 1,845 sasaran tapak liputan 5G di negeri Selangor.

Selain di Selangor, liputan 5G di kawasan berpenduduk di Kuala Lumpur adalah 97.7 peratus, Putrajaya (97.3 peratus), Johor (83.9 peratus), Melaka (88.6 peratus), Negeri Sembilan (77.5 peratus) dan Pulau Pinang (91.1 peratus).

Manakala di Perak (79.8 peratus), Kedah (80.1 peratus), Perlis (91.4 peratus), Pahang (65.5 peratus), Terengganu (72.7 peratus), Kelantan (66.4 peratus), Sabah (68.6 peratus), Labuan (94.4 peratus) dan Sarawak (62 peratus).

 


Pengarang :