Pelajar Tahfiz membaca Al-Quran ketika majlis Tadarus Al-Quran Perdana Hulu Selangor di Masjid Nurul Iman, Hulu Selangor pada 19 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: 450 tahfiz persendirian sertai program pemutihan setakat Jun

SUBANG JAYA, 7 JULAI: Sebanyak 450 institusi tahfiz persendirian sudah mendaftar dengan Persatuan Institusi Tahfiz Selangor (PITAS) bagi menyertai program permutihan setakat bulan lalu.

Sehubungan itu, EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah menggesa supaya pengusaha tahfiz persendirian yang belum mendaftar segera berbuat demikian bagi mengelak tindakan penutupan.

EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah pada Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Seri Setia di Tapak Parkir Dewan D’Kelana, SS7/15, Kelana Jaya pada 07 Julai 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Berdasarkan rekod, kita ada 724 tahfiz dikesan beroperasi tanpa mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan setakat bulan lalu 450 daripadanya telah membuat pendaftaran dengan PITAS.

“Semua tahfiz yang berdaftar dengan PITAS akan menyertai proses pemutihan tahun depan untuk kita masukkan mereka dalam permohonan kebenaran merancang tempoh terhad (KMTT) untuk memastikan sama ada boleh terus beroperasi atau perlu berpindah.

“Proses pemutihan ini dibuat supaya kita dapat memahami keadaan sebenar tahfiz ini dan membuat perancangan pada masa akan datang. Tempoh diberikan sehingga Disember depan jika gagal kita tidak teragak-agak untuk menutupnya,” katanya pada program Jualan Ehsan Rahman di tapak parkir Dewan D’Kelana, Kelana Jaya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan pihaknya akan mewujudkan dasar baharu berhubung pembinaan sekolah agama di negeri ini yang akan diumum dalam masa terdekat.

“Kita akui keperluan sekolah agama di beberapa daerah tetapi ia perlu ada perancangan ke depan antaranya mengetahui kapasiti murid di setiap kawasan.

“Sebab itu kita buat pemutihan untuk memperoleh data sebenar sekali gus menetapkan pembukaan sekolah agama pada masa depan. Kita akan wujud dasar baharu dan kaedahnya akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Pada sidang Dewan Negeri Selangor Mac lalu, Fahmi memaklumkan beberapa pindaan dilakukan dalam program pemutihan pusat tahfiz 2.0 bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin selain tidak menekan pengusaha antaranya melibatkan kelonggaran KMTT dan pengecualian yuran serahan.

Pada Ogos tahun lepas, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru institusi tahfiz swasta dan persendirian yang belum berdaftar dengan pihak berkuasa agama Islam negeri untuk segera melaksanakannya.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah perkara itu penting supaya bantuan dan peruntukan dapat disalurkan seperti yang diterima oleh institusi ps endidikan Islam berdaftar.


Pengarang :