Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari (dua, kiri) bertanya sesuatu dengan Asiah Baharom (duduk, kanan) isteri kepada veteran Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Zakaria Manaf (duduk, kiri) yang mengalami strok ketika melawat di kediamannya di Taman Desa Rhu, Seremban, Negeri Sembilan pada 9 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

1,400 pesara tentera disasar sertai program Veteran Desa Madani tahun ini

MACHANG, 7 JULAI: Kementerian Pertahanan menyasarkan 1,400 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyertai Program Veteran Desa Madani (VDM) seluruh negara tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata pelaksanaan VDM bertujuan membantu golongan B40 dalam kalangan veteran asnaf ATM yang memerlukan bantuan dari aspek kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan dan pemerkasaan.

Beliau berkata program itu juga sebagai platform kerjasama antara kementerian terbabit dan kerajaan negeri dalam usaha menyampaikan bantuan kebajikan kepada veteran terpilih.

“Sebagai permulaan, kita akan adakan tujuh siri program (VDM) di seluruh negara tahun ini melibatkan 200 veteran ATM setiap siri dan kita sasarkan 1,400 veteran ATM akan menerima manfaat.

“Kita akan lihat maklum balas dari semasa ke semasa mengenai program ini dan akan tambah baik kerana program VDM melibatkan veteran ATM yang berada di luar bandar untuk membantu meringankan beban mereka dan keluarga,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menziarahi rumah veteran ATM Hassan Ahmad, 63, di Kampung Chekok, Temangan, di sini hari ini.

Adly berkata selain menyampaikan bantuan seperti barangan keperluan kepada veteran ATM, program VDM juga berperanan sebagai platform untuk mengenal pasti serta memudah cara proses permohonan sumbangan yang diperlukan berdasarkan skim kebajikan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM serta fasiliti keusahawanan yang berkaitan.

“Kerajaan komited meningkatkan peruntukan JHEV ATM daripada RM118 juta kepada RM224 juta pada tahun ini untuk memberi manfaat yang lebih luas kepada veteran ATM.

“Pada tahun ini, kerajaan turut meningkatkan peruntukan bayaran sara hidup sebanyak tiga kali ganda iaitu daripada RM54 juta kepada RM174 juta dan seramai 29,247 veteran ATM telah menerima faedah ini setakat 31 Mei lepas,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :