Deretan mayat rakyat Palestin di sebuah hospital di utara Semenanjung Gaza susulan serangan Israel ke kem pelarian Jabalia, pada 31 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Angka kematian di Gaza kini 38,153 susulan serangan berterusan Israel

GAZA, 7 JULAI: Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza meningkat kepada 38,153, kata Pihak Berkuasa Kesihatan Gaza dalam satu kenyataan pada Ahad, lapor Xinhua.

Dalam tempoh 24 jam yang lepas, 55 orang terbunuh dan 123 yang lain cedera angkara serangan tentera Israel, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kepada 38,153 dan kecederaan kepada 87,828 sejak konflik Palestin-Israel tercetus pada awal Oktober 2023, katanya.

Ia berkata sejumlah mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan serta berada di jalan raya, dan tentera Israel menghalang pasukan ambulans dan pertahanan awam daripada membantu mereka.

Selama sembilan bulan serangan ke atas Gaza, keluarga-keluarga di sana terus menghadapi pengusiran, kemusnahan besar-besaran dan ketakutan yang berterusan, kata Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) di platform media sosial X pada Ahad.

“Kekurangan bekalan asas, (bahang musim panas) tidak tertanggung, (dan) penyakit merebak,” kata UNRWA.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Angkatan Pertahanan Israel berkata operasi mereka terus dijalankan di seluruh Semenanjung Gaza.


Pengarang :