SHAH ALAM, 8 JULAI: Umat Islam di negara ini diseru terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada perjuangan Palestin dalam menuntut kebebasan tanah air yang dikuasai Israel.
Seruan disampaikan pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad Batubara sempena program Malam Ehsan Untuk Insan di Dataran Karnival, pekarangan Stadium Shah Alam di sini malam tadi.
Menurut beliau, iman seseorang mukmin itu boleh terbatal sekiranya individu tersebut mengambil sikap tidak peduli terhadap penderitaan yang dialami umat Islam di Palestin.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/PSX_20240707_235037-500x333.jpg.webp)
“Kita bangsa Melayu, mereka bangsa Arab. Kita orang Malaysia, mereka orang Palestin. Itu bukan urusan kita, itu urusan negara mereka. Maka batal lah iman mereka.
“Cinta kita kepada Rasulullah tetapi kita sia-siakan kiblat tempat kita menghadap Allah. Kita akan dipertanggungjawabkan dan ditanya apa yang kita buat. Insya-Allah panjang umur ada rezeki kita boleh solat di Masjidil Aqsa,” katanya.
Terdahulu, berlangsungnya program sempena sambutan Maal Hijrah yang dihadiri kira-kira 80,000 pengunjung diserikan dengan ceramah Ustaz Abdul Somad, persembahan kumpulan Rabbani, selawat dan qasidah selepas waktu Maghrib.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/IMG_7117-500x375.jpg.webp)
Sementara itu, pengunjung, Zaki Zaharuddin, 29, sanggup datang seawal jam 5 petang bagi memastikan beliau tidak bersesak dan mendapat tempat duduk selesa berhampiran pentas utama.
Menurut kakitangan swasta itu, Ustaz Abdul Somad merupakan pendakwah yang dikagumi dan kehadirannya ke negeri ini untuk menyampaikan ilmu amat ditunggu ramai.
“Saya tahu program ini daripada media sosial. Selama ini hanya berpeluang tengok ceramah Ustaz Abdul Somad dari internet, jadi bila tahu beliau mahu datang Selangor, saya nekad mahu datang.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/IMG_7119-500x375.jpg.webp)
“Rasa sangat teruja dan bertuah kerana dapat dengar ceramahnya secara langsung. Saya harap Ustaz Abdul Somad dapat kerap berkunjung ke Malaysia,” katanya yang tinggal di Klang.
Bagi suri rumah, Nor Aini Zakaria, 53, beliau hadir membawa cucunya, Muhammad Safwan Wan Mohd Hassan, 5, bagi memupuk minat anak kecil itu dengan majlis ilmu.
“Saya suka dengar ceramah Ustaz Abdul Somad. Hari ini datang bersama cucu supaya dia turut dapat mengenali ustaz secara dekat dan mendengar alunan zikir,” katanya.
Program Malam Ehsan Untuk Insan bertemakan ‘Gaza Bangkit’ dianjur Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dengan sokongan Kerajaan Negeri sempena sambutan Maal Hijrah 2024/1446.