AGENDAGLOBAL

6 maut, 4 cedera, 26 lagi hilang dalam runtuhan lombong emas di Indonesia

JAKARTA, 8 JULAI: Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh, empat cedera manakala 26 lagi hilang selepas tanah runtuh melanda sebuah lombong emas di daerah Bone Bolango, wilayah Gorontalo di utara Pulau Sulawesi pada Ahad.

Hujan lebat sejak Sabtu mendorong pihak berkuasa tempatan, termasuk pasukan mencari dan menyelamat (Basarnas) dikerahkan segera ke kampung Tulabolo di mukim Suwawa Timur.

“Keadaan rupa bumi yang mencabar ditambah dengan lokasinya yang terpencil dan hujan yang berterusan telah menyukarkan usaha mencari dan menyelamat,” kata ketua Basarnas Gorontalo, Heriyanto kepada media tempatan.

Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Abdul Muhairi dalam satu kenyataan, berkata tanah runtuh itu juga menyebabkan jambatan runtuh dan beberapa rumah rosak.

Beliau berkata banjir turut menjejaskan beberapa kawasan di lima mukim di wilayah itu susulan hujan lebat, menyebabkan sungai melimpah dan benteng pecah.

“Sebanyak 288 rumah di seluruh mukim ini telah ditenggelami air dan lumpur akibat banjir, menjejaskan 1,029 penduduk. Daripada jumlah yang terjejas, 11 keluarga telah dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat,” tambahnya.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) telah mengeluarkan amaran untuk hujan sederhana hingga lebat serta angin kencang di Bone Bolango dan kawasan lain di Gorontalo pada Isnin dan Selasa.

– BERNAMA

 


Pengarang :