Salah seorang penerima Bingkas Salina Damsah membeli barangan keperluan asas ketika tinjauan Media Selangor di Pasaraya Maju A&A, Gombak pada 15 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Longgar syarat mohon Bingkas bantu lebih ramai rakyat depani cabaran ekonomi

SEPANG, 8 JULAI: Kelonggaran syarat permohonan baharu Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) mencerminkan keprihatinan pentadbiran negeri membantu isi rumah berpendapatan bawah RM5,000 mendepani cabaran ekonomi semasa.

Suri rumah, Siti Hamidah Mohd Hassan, 59, mengakui bantuan RM3,600 setahun sedikit sebanyak meringankan beban kelompok berkenaan yang mempunyai komitmen bulanan tinggi termasuk tanggungan ramai.

Suri rumah, Siti Hamidah Mohd Hassan, 59. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

“Kehidupan sekarang agak ‘keras’, jadi berbaloi Bingkas diluluskan kepada pemohon berpendapatan bawah RM5,000 yang ada anak bersekolah selain perlu hantar anak ke pengasuh dan menanggung kos minyak untuk ke tempat kerja.

“Macam makcik sendiri ada seorang anak kurang upaya (OKU). Dengan bantuan ini boleh meringankan beban untuk menyaranya dan membeli barangan keperluan,” katanya ditemui pada program Selangor Saring di Dewan Orang Ramai Dengkil semalam.

Ibu lima anak turut berpandangan kerajaan negeri lain wajar mencontohi usaha Selangor memperkenal bantuan untuk pembelian barangan keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan serta kelengkapan pendidikan.

“Bingkas patut diperluaskan ke negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah kerana kebanyakan di sana hidup susah terutama yang tinggal di kawasan kampung.

Samuddin Muen, 61. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

“Usaha ini memudahkan semua (penduduk kampung) merasa nikmat Bingkas. Saya berterima kasih kepada Kerajaan Selangor yang prihatin terhadap semua rakyat negeri ini,” katanya
yang menetap di Kampung Semarang, Dengkil.

Sementara itu, Samuddin Muen, 61, bantuan bawah Iltizam Selangor Penyayang itu disifatkan amat bermakna bagi ketua isi rumah yang hanya bekerja kampung dan tiada pendapatan tetap seperti dirinya.

Ketika ramai rakyat terkesan dengan kenaikan harga barang, katanya bantuan RM300 sebulan yang disalur Kerajaan Selangor diakui dapat menampung perbelanjaan barangan dapur untuk kegunaan keluarganya.

“Sebenarnya bagus Kerajaan Selangor buat inisiatif sebegini untuk kemudahan rakyat. Macam pakcik memang asal kerja kampung, jadi pendapatan tidak menentu dan wang pencen pun tiada.

“Jika bulan-bulan boleh dapat RM300, alhamdulillah. Dapat bantu keluarga beli beras, gula dan minyak sebab sekarang harga barangan itu agak tinggi. Cuma pakcik kena cari wang untuk bayar bil api, air dan internet,” katanya.

Pada 5 Julai, EXCO kebajikan mengumumkan syarat permohonan Bingkas dilonggarkan kepada isi rumah bawah RM5,000 berbanding RM3,000 sebelum ini bagi memastikan lebih ramai menerima manfaat.

Anfaal Saari berkata bantuan RM300 sebulan selama 24 bulan boleh dimohon sehingga 15 Ogos menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) atau laman sesawang www.bingkasselangor.com.

 


Pengarang :