Kru termasuk kapten kapal kontena MV KUMJIN terselamat selepas kapal berkenaan karam di kedudukan 2.1 batu nautika Barat Tanjung Rhu, Sepang pada 8 Julai 2024. Foto Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
AGENSISELANGOR

Kapal kontena karam, 10 kru termasuk kapten diselamatkan

SHAH ALAM, 8 JULAI: Sepuluh kru termasuk kapten kapal kontena MV KUMJIN terselamat selepas kapal berkenaan karam di kedudukan 2.1 batu nautika Barat Tanjung Rhu, Sepang dekat sini, awal pagi tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata maklumat berhubung insiden itu diterima pihaknya melalui panggilan kecemasan, yang memaklumkan sebuah kapal kontena mengalami kebocoran di bahagian hadapan ‘ballast tank’ yang agak teruk.

Beliau berkata susulan panggilan kecemasan itu Bot Perkasa 36 APMM telah diatur gerak ke lokasi walaupun dalam cuaca buruk, kira-kira pukul 3.35 pagi.

Kru termasuk kapten kapal kontena MV KUMJIN terselamat selepas kapal berkenaan karam di kedudukan 2.1 batu nautika Barat Tanjung Rhu, Sepang pada 8 Julai 2024. Foto Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

“Setiba di lokasi, pasukan bot ronda APMM mendapati kapal MV KUMJIN dalam keadaan tidak stabil, dan kesemua kru serta kapten kapal sedang berusaha untuk berpindah ke bot keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Muhaimin berkata anggota APMM kemudian bertindak membantu memindahkan kesemua kru ke atas Bot Perkasa 36 sebelum dibawa ke Jeti Pangkalan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut dan pemeriksaan kesihatan.

Beliau berkata kapten kapal merupakan seorang warga Indonesia berusia 53 tahun manakala kru kapal lain merupakan warga Indonesia dan Myanmar berusia 19 hingga 50 tahun.

– BERNAMA


Pengarang :