Penduduk Palestin termasuk orang tua dan kanak-kanak meninggalkan Semenanjung Gaza dengan berjalan kaki untuk mencari perlindungan susulan konflik berterusan antara Israel dan Hamas pada 10 November 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Ribuan rakyat Palestin larikan diri dalam serangan Israel di Barat Daya Gaza

BANDARAYA GAZA, 8 JULAI: Beribu-ribu rakyat Palestin melarikan diri dari kawasan di barat daya Bandaraya Gaza apabila tentera rejim secara mengejut menyerang mereka buat kali pertama dalam tempoh lebih tiga bulan.

Tentera rejim melepaskan tembakan yang menyasarkan jalan raya, rumah dan bangunan kediaman, mengakibatkan puluhan mangsa terkorban pada awal pagi Isnin, lapor Agensi Anadolu.

Pengeboman tentera Israel menyebabkan ribuan rakyat Palestin melarikan diri ke kawasan barat laut bandar berkenaan.

Seorang wartawan Anadolu melaporkan bahawa kenderaan tentera rejim memasuki kawasan perumahan Tel al-Hawa, kawasan perindustrian, kawasan universiti dan pinggir selatan Rimal.

Tentera rejim turut melancarkan serangan menggunakan jet pejuang dan artileri menyasarkan kawasan timur, tengah dan barat Bandaraya Gaza sepanjang malam hingga pagi Isnin, menurut saksi kepada Anadolu.

Ini merupakan operasi ketenteraan berskala besar pertama sejak serangan tentera Israel berhampiran Hospital Al-Shifa dan kawasan sekitarnya pada akhir Mac.

Sumber perubatan Palestin melaporkan bahawa serangan udara Israel menyasarkan bangunan kediaman dan jalan raya mengakibatkan puluhan mangsa terkorban di pelbagai bahagian Bandaraya Gaza.

Disebabkan pengeboman yang semakin meningkat, pasukan penyelamat dan perubatan tidak dapat membantu mangsa yang cedera atau mengeluarkan mayat penduduk.

Saksi juga melaporkan bahawa tentera Israel banyak menggunakan bom asap dan gas di pelbagai kawasan Bandaraya Gaza, terutamanya di kawasan serangan baharu.

Menurut saksi, ribuan rakyat Palestin melarikan diri dari kawasan barat daya bandar ke barat laut dan menghabiskan malam di jalanan tanpa tempat berlindung.

Pada Ahad, tentera Israel mengarahkan penduduk dan mereka yang hilang tempat tinggal di kawasan perumahan Tuffah, al-Daraj dan Old City untuk segera berpindah ke tempat perlindungan di bahagian barat bandar.

Tentera Israel telah menyasarkan kawasan perumahan Shejaiya, yang terletak berhampiran Tuffah, Daraj dan Old City, sejak 27 Jun.

Operasi ketenteraan di kawasan itu sejak kebelakangan ini telah mengakibatkan puluhan rakyat Palestin terkorban.

Israel, yang mengingkari resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera, telah menghadapi kecaman antarabangsa berikutan serangan kejam yang berterusan ke atas Gaza sejak 7 Oktober tahun lepas.

Lebih 38,150 rakyat Palestin telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak manakala lebih 87,800 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :