EXCO Pelaburan Ng Sze Han menjawab soalan dalam persidangan Dewan Negeri Selangor ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 9 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tawar gaji tinggi, sektor semikonduktor mampu kawal hijrah cendekiawan

SHAH ALAM, 9 JUL: Pembangunan sektor semikonduktor di Selangor dijangka mampu mengurangkan isu hijrah cendekiawan (brain drain) berikutan gaji besar yang ditawarkan bidang itu.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata tawaran itu boleh menarik minat rakyat tempatan yang berhijrah ke luar negara untuk bersama-sama membangunkan sektor berkenaan di Malaysia.

Pada masa sama, jelasnya, Selangor bakal menikmati pelbagai manfaat pulangan pelaburan tempatan dan asing secara langsung daripada syarikat semikonduktor bertaraf antarabangsa.

“Ini juga akan menarik syarikat Modal Teroka bertaraf antarabangsa untuk mengembangkan perniagaan reka bentuk litar bersepadu, termasuk peluang membuka kilang pemprosesan di Selangor.

“Justeru, menerusinya, Kerajaan Negeri menyasar lebih ramai rakyat tempatan yang berhijrah ke luar negara untuk pulang dan membangunkan industri semikonduktor bersama-sama,” katanya hari ini.

Menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor, Sze Han menambah kewujudan sektor inovasi tinggi turut memberi limpahan ekonomi setempat yang lain seperti perumahan dan pengangkutan.

Sebelum ini, Sze Han berkata taman reka bentuk litar bersepadu dan pemacu semikonduktor Malaysia: Hab Selangor yang dibangunkan di Puchong merupakan pusat semikonduktor terbesar di Asia Tenggara.

Menurutnya yang juga wakil rakyat Kinrara, pusat itu bakal menawarkan hampir 500 peluang kerja profesional, selain membantu industri sampingan antaranya logistik dan pengusaha kedai makan.

 


Pengarang :