Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 9 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENSISELANGOR

Kampung Orang Asli Bukit Baja diwarta atas tanah baharu milik negeri

SHAH ALAM, 9 JULAI: Kampung Orang Asli Bukit Baja di Dengkil bakal diwartakan di kawasan baharu atas tanah berkeluasan 180 ekar milik Kerajaan Negeri, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan keputusan itu bagi memastikan golongan minoriti memiliki perkampungan sendiri berikutan tapak kediaman sebelum ini tidak pernah diwartakan.

Menurutnya, tapak lama milik milik Perbadananan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkeluasan 243 ekar pula akan dibangunkan bagi projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 9 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Sebagai kerajaan prihatin, kita laksanakan beberapa perbincangan supaya situasi menang-menang, di mana ada pewartaan untuk Kampung Orang Asli, manakala PKNS dibenar membangunkan tapak lama.

“Justeru, langkah pertama ialah mewartakan 180 ekar tanah milik negeri sebagai perkampungan Orang Asli Bukit Baja supaya menjadi hak milik mereka,” katanya dalam sidang Dewan Negeri hari ini.

Amirudin menambah perkara lain akan diselesai berperingkat termasuk menyediakan tabung pendidikan dan keselamatan, tapak kubur, surau, balai raya, tadika, kedai dan kos infrastruktur.

Menjawab soalan wakil rakyat Dengkil Datuk Seri Jamil Salleh, jelasnya, negeri juga menawarkan penyediaan bangunan asas rumah dan menampung kos perpindahan sementara sebelum kediaman itu siap.

“Ia akan dimuktamadkan cepat kerana kos ditanggung PKNS tinggi, selain kawasan berkenaan berpotensi membangun,” katanya lagi.


Pengarang :