EXCO Infrastruktur & Pertanian Ir Izham Hashim menjawab soalan dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 9 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
EXCOSELANGOR

Negeri peruntuk RM5 juta jayakan kerja bersih parit, longkang tidak bertuan

SHAH ALAM, 9 JULAI: Sejumlah RM5 juta diperuntuk Kerajaan Negeri bagi melaksanakan kerja pembersihan parit dan longkang tidak bertuan di seluruh Selangor tahun ini.

EXCO infrastruktur berkata kerja pembersihan melibatkan saliran sepanjang lebih 300 km dijalankan menerusi dua fasa dengan setiap fasa menerima peruntukan RM2.5 juta.

Menurut Ir Izham Hashim, kerja pembersihan fasa satu melibatkan parit tidak bertuan sepanjang 162 km yang dikenalpasti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.

“Manakala fasa dua, RM2.5 juta diperuntukkan melibatkan parit dan longkang tidak bertuan yang dikenalpasti Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Daerah.

“Peruntukan telah diluluskan dan dalam peringkat perolehan ketika ini. Ini akan dilaksanakan secara berfasa dan akan disiapkan sebelum menjelang monsun Oktober nanti dengan (panjang keseluruhan dianggarkan) lebih 300 km,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Ir Izham menambah Kerajaan Negeri sedang menyiapkan kertas dasar berhubung penyerahan milikan parit dan longkang tidak bertuan kepada agensi berkaitan.

“Syor sudah diluluskan untuk kita sediakan kertas dasar kepada siapa nak diserahkan nanti (agensi) longkang dan parit tidak bertuan ini supaya ada tuan.

“Kertas dasar perlu disiapkan sebelum akhir tahun ini supaya bajet dapat disediakan tahun depan untuk mereka menguruskan (penyelenggaraan) secara berkala,” katanya.


Pengarang :