Kerja-kerja projek tebatan banjir di sepanjang tebing Sungai Kelantan, Pasir Pekan di Tumpat sedang giat dilaksanakan pada 23 September 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

RMK12: Dana RM950 juta untuk pulihara sungai, kurangkan risiko banjir

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Sejumlah RM950 juta diperuntukkan untuk memulihara sungai sebagai usaha mengurangkan risiko banjir dan kerja-kerja kecemasan luar jangka dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM410 juta diperuntukkan untuk memulihara sungai bagi mengurangkan risiko banjir kepada setiap negeri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada 6 Mac 2024. Foto BERNAMA

“Selain itu Jabatan Pengaliran Saliran (JPS) turut memperuntukkan sebanyak RM540 juta di bawah RMK12 bagi kerja-kerja kecemasan luar jangka bertujuan memelihara struktur-struktur yang rosak akibat banjir di seluruh negara. Bagaimanapun agihan peruntukan berdasarkan keperluan semasa setiap negeri,” katanya pada sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang ingin mengetahui peruntukan yang diberikan kepada JPS setiap negeri bagi mengatasi masalah ketiadaan saliran dan longkang yang terancang untuk mengelakkan banjir kilat apabila berlaku hujan yang berpanjangan.

Fadillah berkata pengurusan sistem saliran perparitan diuruskan pelbagai pihak termasuk JPS, pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah, Jabatan Kerja Raya dan lain-lain agensi berkaitan termasuk pemaju.

“Kementerian ingin menekankan, merujuk kepada Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 atau Akta 133, tanggungjawab membina dan menyenggara parit adalah di bawah PBT tetapi kementerian akan sentiasa bekerjasama dengan agensi terbabit dalam memastikan sistem saliran dapat berfungsi dengan baik.

“Bagi tujuan pelarasan di peringkat institusi, Jemaah Menteri pada 1996 telah menggariskan pembahagian tanggungjawab di antara PBT dan JPS. Semua sistem saliran dalaman iaitu sistem saliran buatan atau perbandaran adalah di bawah tanggungjawab PBT manakala sistem saliran semulajadi yang melibatkan sungai dan anak sungai adalah di bawah tanggungjawab JPS,” katanya.

Dalam pada itu, Fadillah berkata sejumlah RM316.3 juta diperuntukkan kepada JPS Sarawak melibatkan 17 lokasi iaitu enam bahagian di Kuching, Betung, Mukah, Miri, Limbang dan Samarahan.

“Projek ini dalam proses perolehan dan masih menunggu untuk dimuktamadkan Kementerian Kewangan….harap walau mungkin projek ini tidak keseluruhan dapat diselesaikan, namun tetap sebahagian besar akan dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Chiew Choon Man (PH-Miri) yang mahu kerajaan meluluskan peruntukan kepada Sabah dan Sarawak bagi menangani masalah banjir ekoran hakisan pantai dan limpahan air laut seperti yang berlaku di kawasan sekitar Pantai Lutong, Miri demi menjaga keselmatan dan keselesaan rakyat.

– BERNAMA


Pengarang :