PETALING JAYA, 9 JULAI: Lebih 92 peratus tiket perlawanan Piala Sultan Selangor (TSSC) melibatkan aksi Selangor dan Singapura terjual dalam tempoh dua minggu sejak 24 Jun lalu.
Pengerusi dan pengurus TSSC berkata tiket perlawanan yang berlangsung di Stadium Merdeka pada 17 Ogos nanti kini hanya berbaki 1,500 sahaja.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/P_TIKETSultanSelangorCUPMBPJ-15-500x333.jpg.webp)
“Lebih 92 peratus daripada 20,000 tiket telah habis terjual dan tinggal sedikit sahaja lagi. Penonton diingatkan untuk mendapatkan tiket lebih awal kerana tidak dijual di stadium.
“Tiket boleh dibeli di Restoran Uncle K (SACC Mall, Shah Alam serta Hotel Concorde Shah Alam dan Kuala Lumpur) dan pihak berkuasa tempatan yang menyertai jelajah promosi perlawanan ini,” kata Tan Sri Abd Karim Munisar.
Ditemui pada siri jelajah promosi dan penyerahan tiket TSSC di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), beliau menyarankan penonton untuk menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan.
“Stadium akan penuh dan sesak hingga sukar letak kereta, penonton digalakkan menaiki sistem tren Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) untuk memudahkan pergerakan.
“Prasarana juga telah bersetuju untuk menambah waktu operasi perkhidmatan sehingga 12.30 malam pada hari perlawanan,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/P_TIKETSultanSelangorCUPMBPJ-8-500x333.jpg.webp)
Sementara itu, Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon berkata pihaknya menyediakan bas khas untuk membawa kakitangan dan penyokong MBPJ sempena kejohanan tersebut.
“MBPJ akan sediakan bas khas untuk kakitangan menyaksikan perlawanan nanti. Ini sebahagian daripada menjaga kebajikan sekaligus beri kemudahan kepada penyokong.
“Kita sentiasa menyokong penuh usaha dalam merealisasikan kejohanan ini dan terus membuat hebahan,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/P_TIKETSultanSelangorCUPMBPJ-16-500x333.jpg.webp)
Siri jelajah promosi perlawanan TSSC melibatkan aksi Selangor dan Singapura diadakan di lima pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan hebahan.
Sesi jelajah bermula di Majlis Bandaraya Shah Alam pada 24 Jun, diikuti Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan MBPJ pada hari ini. Jelajah seterusnya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (15 Julai) dan Majlis Perbandaran Selayang (22 Julai).
Selain itu, jelajah khas juga diadakan di syarikat penaja cabutan bertuah kereta Honda City di Tanjung Balai Group (Honda 4S Centre) Seri Kembangan pada Sabtu 13 Julai dari 10 pagi hingga 12 tengahari.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/P-KBSSS-9-500x333.jpg.webp)