Sebahagian kanak-kanak mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Petaling di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Tubuh hab anak Selangor sihat di setiap DUN, atasi isu kurang zat kanak-kanak

SHAH ALAM, 9 JULAI: Kerajaan Negeri akan menubuhkan hab Program Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengurangkan masalah malnutrisi kanak-kanak.

EXCO kesihatan awam berkata kanak-kanak di setiap DUN akan menjalani proses saringan yang diselaras Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) sebelum diberikan bantuan bakul makanan.

Jelas Jamaliah Jamaluddin proses pemantauan selama enam bulan kemudian dilaksanakan untuk menilai kadar perkembangan fizikal kanak-kanak terlibat.

“Kerajaan Selangor juga telah melaksanakan Karnival ASAS di sembilan daerah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa kepentingan penyediaan makanan bernutrisi untuk anak-anak.

“Kerajaan Negeri juga dalam proses menyelaras semula pelaksanaan program ini untuk memastikan capaian yang lebih efektif,” katanya hari ini.

Menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor, Jamaliah berkata pengurangan isu malnutrisi kanak-kanak juga boleh dicapai melalui pengurusan data status pertumbuhan kanak-kanak secara lebih sistematik dan efisien melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Pada masa ini, pengurusan data sedang dalam proses pembangunan dan dijangka siap pada Ogos ini.

“Kerajaan Negeri juga bersedia bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkaitan aspek pelaksanaan program dan data supaya kerjasama strategik berkaitan isu itu dapat dijalankan secara tersusun dan berkesan,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM700,000 tahun ini bagi meneruskan program ASAS ke arah mengurangkan isu malnutrisi kanak-kanak di Selangor.


Pengarang :