Pengunjung mencuba simulator pesawat Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 9 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Pelan Tindakan Aeroangkasa jadikan Selangor hab industri Asia Tenggara

SHAH ALAM, 9 JULAI: Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor 2020-2030 bakal memacu pembangunan aeroangkasa negeri sekali gus menjadi hab utama perindustrian di Asia Tenggara.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata matlamat berkenaan dapat dicapai menerusi pelaksanaan pelbagai usaha dan strategi yang terkandung dalam pelan perancangan 10 tahun itu.

“Secara global, industri aeroangkasa dijangka berkembang sebanyak RM2.6 trilion menjelang 2030 dengan kadar pertumbuhan 5.9 peratus setiap tahun.

“Perkara ini dapat dicapai dalam rangka pertumbuhan trafik penumpang yang dijangka meningkat sebanyak 6.1 peratus dan penambahan aset kapal terbang syarikat-syarikat penerbangan sebanyak 3.5 peratus.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han menjawab soalan dalam persidangan Dewan Negeri Selangor ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 9 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Tahun lalu, Selangor merekodkan pelaburan sektor pembuatan sebanyak RM19.3 bilion, meningkat daripada RM12.2 bilion pada tahun sebelumnya. Sebahagian nilai itu merangkumi pelaburan industri aeroangkasa,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sze Han turut menjelaskan beberapa projek dijalankan bersama syarikat terkemuka antaranya Dassault Aviation, Collins Aerospace, Smartlink Engineering, Singapore Airlines Engineering dan Malaysia Airlines Engineering bagi mengembangkan lagi sektor berkenaan.

Menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Bandar Baharu Klang Dr Quah Perng Fei, beliau berkata Invest Selangor Sdn Bhd turut menjalin kerjasama dengan pemain industri sebagai langkah menggiatkan lagi pembangunan aeroangkasa menerusi projek berkualiti dan berimpak tinggi.

Antara usaha dibuat ialah mengadakan sesi perbincangan dan libat urus bersama syarikat berkaitan bagi membawa rantaian bekalan seperti pembuatan helikopter jenama terkemuka dari Turki.

“Hasil kajian dan sesi libat urus mendapati Malaysia adalah kawasan kegemaran pelabur asing di rantau Asia Tenggara oleh kerana kefasihan tenaga mahir tempatan dalam pelbagai bahasa terutamanya Inggeris.

“Selain itu Program Perantis Aeroangkasa Selangor (SAAP) memberi peluang kepada belia meningkatkan kemahiran diri melalui latihan disediakan serta insentif pembiayaan bagi mengekalkan tenaga mahir,” katanya.


Pengarang :