Atlet Para negara Suresh Selvathamby menunjukkan pingat yang dimenanginya selepas muncul juara dunia dalam acara Recurve Individu Lelaki di Kejohanan Memanah Para Dunia 2019, Hertogenbosch, Belanda pada 11 Jun 2019. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sukan Paralimpik: Bekas juara memanah para dunia harap tuah cuaca panas di Paris

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Bekas juara memanah para dunia, S. Suresh berharap cuaca panas yang diramal melanda Paris sepanjang temasya Sukan Paralimpik 2024 membawa tuah kepadanya selepas pulang hampa pada edisi Tokyo 2020.

Suresh yang tersingkir awal di Tokyo berkata dirinya kini lebih yakin menyahut cabaran baharu di Paris dengan melakukan panahan lebih tepat yang mampu membawanya ke kedudukan podium kali ini.

“Saya tonton berita bahawa di Perancis ketika ini agak panas, jadi saya harap boleh tahan dan cuaca ini akan bantu saya.

“Kali ini saya rasa boleh pergi jauh untuk dapatkan pingat…kalau ada rezeki boleh bawa emas,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran 50 Days Countdown Paris 2024 Paralympic Games di sini hari ini.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan suhu musim panas di Paris kali ini diramalkan lebih tinggi berbanding sekitar 25 hingga 42 darjah celcius yang pernah dicatatkan sebelum ini, dengan beberapa pihak menyatakan kegusaran mengenai potensi risiko kesihatan, termasuk kekejangan, keletihan dan strok haba.

Suresh pada masa sama berkata peluang untuk menaiki podium pada Sukan Paralimpik 2024 di Paris lebih seimbang berbanding penampilan sulungnya di Tokyo 2020.

Pemanah berusia 31 tahun itu berkata kesemua pencabarnya, termasuk dari tuan rumah Perancis, Thailand, Indonesia dan India memiliki peluang sama rata untuk memburu pingat pada saingan yang akan berlangsung di Esplanade des Invalides.

“Dahulu boleh ramal negara mana yang bahaya, namun kali ini rata-rata hampir semua kuat, termasuk India yang sedang memuncak.

“Peluang agak sama rata, hanya atlet yang mempunyai ketahanan mental kuat serta dapat kawal perasaan mampu mara lebih jauh,” katanya.

Semasa di Tokyo 2020, atlet kelahiran Kedah itu tumbang kepada wakil Jawatankuasa Paralimpik Rusia Bato Tsydendorzhiev, 2-6 di peringkat penyingkiran 1/16.

Sukan Paralimpik 2024 dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 Sept ini.

– BERNAMA


Pengarang :